Pematuhan SOP sektor peruncitan rekod 97.9 peratus
KUALA TERENGGANU - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) berpuas hati dengan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) sektor peruncitan yang mencapai tahap 97.9 peratus melalui Kempen Norma Baharu Covid-19.
Menterinya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, ia hasil operasi yang dilaksanakan sejak kempen itu bermula 8 Ogos 2020 hingga 1 Mac lalu.
Menurutnya, sepanjang tempoh itu, sebanyak 402,929 pemeriksaan dilakukan di seluruh negara dan daripada jumlah itu, hanya 151 kompaun dikeluarkan.
"Berdasarkan jumlah pemeriksaan, KPDNHEP mendapati kadar pematuhan di sektor peruncitan amat tinggi dan perlu dikekalkan sehingga pandemik Covid-19 di negara ini berakhir.
"Semua yang berada di peringkat peruncitan sama ada di pusat membeli-belah, kedai runcit, kedai serbaneka serta pasar awam bertanggungjawab memastikan pematuhan diikuti.
"Berdasarkan peratusan pematuhan ini, kita percaya mampu mencapai 100 peratus jika semua pemain industri memainkan peranan masing-masing untuk," katanya kepada pemberita selepas perasmian Kempen Norma Baharu Covid-19 Sektor Peruncitan di Pasar Besar Kedai Payang, di sini pada Jumaat.
Turut hadir, Timbalan Menteri KPDNHEP, Datuk Rosol Wahid; Exco Keusahawanan, Industri Mikro dan Hal Ehwal Pengguna Negeri, Mohd Nurkhuzaini Ab Rahman dan Ketua Setiausaha KPDNHEP, Datuk Seri Hasnol Zam Zam Ahmad.
Sementara itu, mengulas mengenai kempen berkenaan, beliau berkata, selain Pasar Payang, program itu turut disasarkan di lima pasar utama iaitu Pasar Satok di Kuching, Pasar Kraftangan di Kota Kinabalu, Pasar Siti Khadijah di Kota Bharu, Pekan Rabu di Alor Setar dan Pasar Chowrasta di Georgetown.
"Kita memilih pasar-pasar utama ini kerana ia menjadi tumpuan terutama pelancong domestik.
"Pasar ini perlu dipersiapkan bagi memastikan dapat menerima pengunjung dengan pematuhan SOP yang tinggi apabila sektor pelancongan domestik dibuka semula kelak," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!