Imam didakwa miliki senjata api
NILAI - Seorang imam yang juga merupakan pesara polis akan dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kuala Pilah esok atas tiga pertuduhan memiliki senjata api tanpa kebenaran, peluru tanpa lesen dan mencuri.
Ketua Polis Daerah Nilai, Superintendan Mohd Nor Marzukee Besar berkata، siasatan lanjut terhadap suspek telah menemui beberapa barang kes yang boleh dijadikan sebagai bukti pada pertuduhan tersebut.
Katanya, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) (FIPA) 1971 iaitu memiliki pistol tanpa lesen dan Seksyen 8(a) Akta Senjata Api 1960 kerana memiliki peluru.
"Suspek juga akan dituduh dibawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan kerana mencuri.
"Jika semuanya disabit kesalahan suspek boleh dikenakan hukuman penjara maksimum 14 tahun dan sebatan atau denda, " katanya kepada Sinar Harian.
Terdahulu, polis telah memberkas seorang pesara polis yang juga imam bagi membantu siasatan kes memukul isteri di Kampung Bukit Kadir Nilai pada 24 Januari lalu.
Suspek berusia 61 tahun itu menyerah diri pada hari yang sama selepas kejadian di Balai Polis Nilai untuk memberi keterangan.
Hasil soal siasat yang dilakukan, suspek dikatakan telah berselisih faham dengan isterinya yang memajak pokok rambutan mereka kepada orang kampung tanpa pengetahuannya.
Berang dengan tindakan tersebut, suspek kemudiannya melepaskan beberapa das tembakan, sebelum menyorokkan semua bukti di sebuah kawasan di Pulau Indah, Selangor.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!