Dekati Tuhan, santuni manusia

A
A
A

SESUNGGUHNYA ALLAH SWT menjadikan kita cukup lemah dan terdedah melakukan kesalahan. Pun begitu, kita tetap dijadikan khalifah di dunia ini kerana manusia adalah sebaik-baik kejadian berbanding makhluk yang lain. Bagi merealisasikannya, kita dikurniakan hawa nafsu untuk menguruskan tanggungjawab tersebut.

Namun, nafsu perlu dikawal oleh akal yang menguasai ilmu dan hukum agama. Jika tidak, manusia akan terpesong dan memburukkan diri sendiri serta memudaratkan orang lain. Begitulah juga dengan ahli ibadat yang sentiasa mendekati ALLAH SWT, tidak terkecuali dengan gejolak hawa nafsu.

Sebetulnya kita kadangkala cukup hairan, mengapa individu yang rajin ke masjid dan suka beribadat, namun tidak mesra dengan jemaah dan masyarakat sekitar? Malah, ada yang membiarkan konflik berpanjangan sehingga rela tidak merapatkan saf kerana tidak sebulu dengan ahli jemaah yang lain.

Selain itu, membina kumpulan tersendiri, tidak bertegur sapa dengan jemaah lain dan suka memandang rendah masyarakat sekitar yang tidak datang ke masjid. Ini bermakna mereka hanya mendekati ALLAH SWT, namun menjauhi manusia.

Menurut Ibnul Jauzi menerusi kitabnya, Talbis Iblis: “Ketahuilah pintu terbesar yang dapat dimasuki iblis untuk menggoda manusia adalah pintu kejahilan. Melalui pintu inilah, iblis masuk ke dalam diri orang-orang yang jahil dengan berleluasa. Ada pun terhadap orang-orang berilmu, iblis tidak dapat masuk ke dalam diri mereka melainkan dengan cara mencuri-curi. Iblis dapat melancarkan tipu dayanya kepada majoriti ahli ibadat kerana sedikitnya ilmu mereka.

“Majoriti ahli ibadat menyibukkan diri dengan beribadat, namun tidak menguasai ilmunya. Kebanyakan ahli ibadat tidak memahami amalan kecuali amalan anggota badan semata-mata, sedangkan maksud amalan adalah termasuk amalan hati, bahkan amalan hati lebih utama daripada amalan anggota badan.”

Malah ALLAH SWT telah berfirman: “Hendaklah kamu beribadat kepada ALLAH dan janganlah kamu sekutukan Dia dengan sesuatu apa jua dan hendaklah kamu berbuat baik kepada kedua ibu bapa dan kaum kerabat, dan anak-anak yatim, dan orang-orang miskin, dan jiran tetangga yang dekat, dan jiran tetangga yang jauh, dan rakan sejawat, dan orang musafir yang terlantar, dan juga hamba yang kamu miliki. Sesungguhnya ALLAH tidak suka kepada orang-orang yang sombong takbur dan membangga-banggakan diri.” (Surah An-Nisa, 4:36)

Menurut perspektif psikologi, manusia adalah spesies bersosial dan tidak akan berjaya tanpa bersosialisasi. Malah, perspektif itu telah digarap dengan baik menerusi filem Cast Away yang dilakonkan Tom Hanks.

Artikel Berkaitan:

Apa yang nyata, beliau telah selamat daripada mengalami penyakit jiwa yang kronik kerana ditemani oleh ‘Wilson’ iaitu bola tampar yang terapung di atas laut berdekatan dengan pulau yang didudukinya setelah terselamat daripada kapal terbang kargo yang terhempas.

Secara lebih jelas, walaupun ‘Wilson’ itu bukannya manusia, namun jiwa manusia yang diselami oleh Tom Hanks telah membantu dirinya terus normal sehingga diselamatkan setelah bertahun-tahun terdampar di pulau. Justeru, mendekati manusia boleh mensejahterakan diri sendiri.

Berkaitan hal itu, daripada Abu Hurairah RA bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Wahai Abu Hurairah, jadilah kamu seorang yang warak, nescaya kamu menjadi manusia yang paling beribadat. Jadilah kamu seorang yang merasa kecukupan, nescaya kamu menjadi manusia yang paling bersyukur. Cintailah manusia seperti kamu mencintai dirimu sendiri, nescaya kamu akan menjadi seorang yang Mukmin. Perbaikilah hubungan dalam berjiran dengan tetanggamu, nescaya kamu akan menjadi seorang yang berserah diri. Sedikitkanlah ketawa kerana banyak ketawa akan mematikan hati.” (Hadis Riwayat Ibnu Majah).

Ingatlah, kita tidak akan mendapat reda ALLAH SWT selagi tidak mendekati manusia.

* Profesor Madya Dr Huzili Hussin ialah Ketua Pusat Kecemerlangan Inovasi dan Kelestarian Sosial (COESIS) Universiti Malaysia Perlis

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!