Kyal Sin puteri demokrasi Myanmar

Kyal Sin yang juga dipanggil Angel digambarkan sebagai seorang yang sangat berani.
Kyal Sin yang juga dipanggil Angel digambarkan sebagai seorang yang sangat berani.
A
A
A

YANGON - Seperti kebanyakan remaja lain di Myanmar, Ma Kyal Sin berkongsi suka duka kehidupan mudanya menerusi media sosial.

Antaranya gambar selfie dengan rambut keriting, momen manis dengan haiwan peliharaan dan perayaan ulang tahun dengan rakan-rakan.

Namun sejak Rabu lalu, remaja berusia 19 tahun itu menjadi sebutan ramai.

Namanya dijulang di Facebook dan Twitter. Fotonya yang berbaju hitam dengan tertera ayat 'Everything will be OK' menghiasi media seluruh dunia.

Dan perkataan 'Everything will be OK' itu kini menjadi tanda pagar trending di pentas antarabangsa.

Namun tragisnya, Kyal Sin tidak dapat menyaksikan semua itu apabila dia terkorban dalam perjuangan untuk membebaskan idola demokrasinya sendiri, Aung San Suu Kyi.

Dalam demonstrasi jalanan secara besar-besaran di bandar Mandalay Rabu lalu, Kyal Sin bersama puluhan ribu penunjuk perasaan lain 'bertempur' dengan pihak tentera dan polis.

Artikel Berkaitan:

Penunjuk perasaan duduk berlindung di atas jalan raya. Turut kelihatan menyertai protes itu Kyal Sin (kiri). - Foto Reuters
Penunjuk perasaan duduk berlindung di atas jalan raya. Turut kelihatan menyertai protes itu Kyal Sin (kiri). - Foto Reuters

Namun, rupa-rupanya itu merupakan hari paling berdarah buat Myanmar. Pada hari itu sahaja dilaporkan 38 orang penunjuk perasaan maut ditembak pihak berkuasa yang menggunakan peluru hidup untuk menyuraikan peserta demonstrasi.

Salah seorang yang terkorban ialah Kyal Sin. Dia maut di jalanan selepas sebutir peluru tepat mengenai kepalanya.

Kematiannya kini ditangisi dunia terutamanya pecinta demokrasi. Kyal Sin juga kini menjadi simbolik baru perjuangan aktivitis demokrasi di bumi Myanmar.

Dia ibarat puteri demokrasi yang kembali meniupkan semangat jutaan penduduk Myanmar untuk terus melawan penguasaan junta.

Namun, lebih menyedihkan, dalam demonstrasi jalanannya, gadis itu bagaikan mengetahui perjuangan mengembalikan demokrasi boleh meragut nyawanya.

Myanmar hanya bertemu demokrasi selama enam tahun selepas pilihan raya pada tahun 2015, sebelum Suu Kyi ditangkap junta tentera bulan lalu.
Myanmar hanya bertemu demokrasi selama enam tahun selepas pilihan raya pada tahun 2015, sebelum Suu Kyi ditangkap junta tentera bulan lalu.

Kyal Sin yang juga seorang atlet taekwondo dan penari sejak awal-awal lagi sudah memuat naik status di Facebooknya untuk menyumbangkan organ tubuh beliau jika dia terbunuh.

Titipan akhir Kyal Sin yang menyentuh hati, membuatkan pesanan duka dan pujian netizen membanjiri halaman Facebooknya.

Salah seorang rakan beliau, Myat Thu, 23, yang bersama-samanya ketika protes, mengenang Kyal Sin sebagai gadis muda yang sangat berani.

Kyal Sin dikatakan dengan beraninya menendang paip air hingga terbuka supaya penunjuk perasaan lain dapat mencuci muka daripada gas pemedih mata yang dilepaskan pihak polis.

"Ketika polis melepaskan tembakan, dia mengatakan kepada saya 'Duduk! Duduk! Peluru akan mengenai kamu'. Dia merawat dan melindungi orang lain sebagai seorang kawan," kenang Myat Thu.

Mya Thu masih mengingati bagaimana Kya Sil yang kini digelar Angel juga sangat berbangga ketika membuang undi buat pertama kalinya pada November tahun lalu.

Dalam pilihan raya tersebut parti Parti Liga Nasional bagi Demokrasi (NLD) menang besar apabila memperoleh 346 kerusi, lebih 50 peratus untuk kerusi Parlimen.

"Suara pertama saya, dari lubuk hati saya. Saya melakukan tugas saya untuk negara saya," tulis Kyal Sin pada posting media sosialnya selepas membuang undi pada November tahun lalu.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!