Menjana perpaduan antara kaum
PENDIDIKAN subjek Sejarah di sekolah menengah kita bagi saya adalah suatu elemen pemecah kaum daripada ia sebagai penyatu.
Saya rasa ia tidak disengajakan tetapi aspek ini perlu diubah jika kita inginkan warganegara Malaysia yang berbangga dengan naratif sejarah rakyat yang boleh memberangsangkan patriotisme dan persaudaraan. Terdapat lima aspek subjek Sejarah yang saya rasa perlu diteliti dan jika boleh diubah sama sekali.
Naratif politik kemerdekaan dan pembangunan bangsa
Saya dapati bahawa naratif subjek ini melebihkan sumbangan satu kaum sebagai ‘hero’ dan membiarkan kaum-kaum lain menjadi pelakon sampingan atau ‘extra’. Hampir kesemua peranan penting diaturkan seperti dimain oleh satu kaum tertentu dan peranan minimum kepada kaum lain.
Sebenarnya kita tidak boleh mengenal pasti dengan sejelasnya apa yang berlaku dalam bibit-bibit sejarah. Ini disebabkan peranan tokoh-tokoh yang banyak perlu dikaji dan apa yang tersirat tidak semestinya yang tersurat.
Maka itu adalah elok jika kita menyeimbangkan kesemua peranan pelakon sebagai suatu naratif kejayaan bersama dan suatu usaha segandingan. Maka ini akan memberi mesej positif kepada kesemua kaum dan tidak melukakan hati mana-mana kaum.
Ahli-ahli politik dan aktivis banyak mengungkit sejarah silam yang diambil dari satu naratif yang destruktif kepada perpaduan.
Kepelbagaian naratif
Aspek kedua adalah bagaimana mengambil iktibar dari peristiwa hitam negara seperti 13 Mei. Sejarah arus perdana hanya memainkan satu naratif sahaja dan ini melukakan hati semua yang membaca. Satu kaum menganggap kaum lain yang menjadi dalang dan kaum tersebut juga bersikap demikian.
Saya rasa kita perlu melihat pelbagai naratif dari pelbagai pihak. Kalau baca buku Lee Kuan Yew, lain naratifnya dan kalau baca buku Mahathir lain pula bunyinya. Tunku Abdul Rahman pun mempunyai perspektif beliau sendiri jika kita baca beberapa penulis-penulis lain.
Saya berpendapat bahawa kebenaran sejarah hanya boleh didekati dengan lebih banyak naratif yang dirakamkan sejarawan daripada hanya satu atau dua cerita sahaja.
Akhir sekali, kesimpulan 13 Mei mestilah suatu yang menyalahkan kesemua pihak dan ia perlu mengingatkan semua bahawa bibit peristiwa tersebut jangan diulangi lagi.
Sumbangan pelbagai kaum dan agama
Malaysia mempunyai 40 kumpulan etnik dan beberapa jenis kepercayaan agama. Sewaktu mempelajari sejarah di bangku sekolah dulu, saya tidak pernah mempelajari Sejarah dan sumbangan agama-agama lain seperti agama Kristian dan Buddha.
Contohnya sekolah-sekolah mubaligh Kristian seperti St’Mark, St’Georges dan Convent Bukit Nanas adalah tinggalan orang Kristian untuk pendidikan semua rakyat di peringkat nasional. Ini perlu sangat diberi pengiktirafan.
Orang Cina telah membina sekolah vernakular melalui usaha Dong Zia Jong dengan keringat dan wang ringgit mereka sehingga ia menjadi sekolah yang mempunyai 20 peratus pelajar Melayu.
Sejarah kaum lain di Sabah dan Sarawak adalah penting diketahui agar kesemuanya tidak lagi terasing daripada memori kita.
Orang asli sebagai pribumi pertama juga telah diasingkan dan ditinggalkan sehingga ramai kanak-kanak beragama lain mencemuh kepercayaan mereka sebagai primitif atau kebinatangan.
Sejarah warisan perbandaran
Warisan perbandaran menjadi manifestasi identiti kita bersama. Dari masjid bergaya rupa Anglo India kepada Rumah Kongsi bergaya rupa seni bina China atau ukiran rumah kedai pada bangunan yang dipunyai golongan India serta bahasa pentadbiran senibina kolonial, kesemua ini adalah warisan kita semua.
Orang Melayu tidak kenal bandar kerana mereka berkampung dan menjadi nelayan. Apabila Inggeris, Belanda dan Portugis hadir, maka perancangan bandar dengan jalan bergrid serta blok-blok bangunan dan lorong servis di belakang dicipta sebagai modenisasi awal.
Sistem ekonomi berupa perniagaan dan perkhidmatan mula mengambil alih tanaman padi dan buah-buahan kaum Melayu kaum lain mendapat durian runtuh setelah satu generasi berpeluh menjaga kedai dan mengisi gudang-gudang.
Warisan bandar adalah cerminan kerjasama antara semua kaum dan tidak akan berjaya dibina atau diekonomikan jika semua kaum tidak mengambil bahagian sebagai penjual, pembeli dan pembekal atau pembuat.
Sayangnya kini majlis perbandaran tidak sensitif dan merobohkan banyak warisan perbandaran untuk membina kondominium atau bangunan pejabat demi kejayaan ekonomi.
Malangnya dengan berbuat demikian maka generasi anak-anak tidak akan nampak kejayaan perpaduan masa silam dan mereka kembali menjadi kaum-kaum yang terasing naratif kewujudan masing-masing.
Tugasan dokumentasi tokoh-tokoh komuniti
Tugasan subjek Sejarah sepatutnya terfokus juga kepada mendokumentasi tokoh-tokoh dalam keluarga dan komuniti sendiri dari pelbagai kaum.
Nenek-nenek dan datuk-datuk yang bertungkus-lumus menjual nasi lemak, mengisar ais kacang, membanting tulang mengusung guni dengan keringat dan kepanasan adalah asas pembinaan sosial, ekonomi dan perpaduan bangsa Malaysia.
Dengan mempelajari kepelbagaian sumbangan mereka maka kita semua boleh menghayati peranan semua kaum dalam membentuk negara kita ini.
Malaysia mempunyai kekayaan besar dari sejarah kaum-kaum etniknya. Sayang sekali naratif satu kaum menjadi terlalu mendominasi kisah negara ini sehingga menggelapkan peranan kaum-kaum lain.
Mungkin benar terdapat tokoh-tokoh satu kaum itu memberi sumbangan besar tetapi tepuk tangan tidak boleh bersebelah dan sumbangan kaum lain amat perlu untuk menghasilkan segala kejayaan.
Kalau kita tidak mengubah kaedah dan silibus pendidikan sejarah dengan naratif-naratif yang strategik maka 60 tahun ke hadapan ‘sejarah’ hitam masa depan kita akan mudah tercoret sekarang sebab ia akan berulang tiada penghujungnya.
* Profesor Dr Mohd Tajuddin Mohd Rasdi ialah Profesor Seni Bina di UCSI University
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!