Apa jajaran baharu politik UMNO?

A
A
A

UMUM sudah menjangkakan bahawa kerjasama UMNO dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) bakal berakhir. Sejak awal bekerjasama, hubungan antara dua parti itu sentiasa bergelora dan tegang.

Acap kali desakan dibuat supaya UMNO memutuskan hubungan dengan Bersatu dan Perikatan Nasional (PN), cuma kali ini ia benar-benar berlaku.

Dua peristiwa ini boleh dilihat sebagai punca ketegangan tersebut. Pertama, Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah pada September dan kedua, krisis politik di Perak pada Disember tahun lalu.

Dua kes itu memperlihatkan bagaimana hubungan kedua-dua parti mencapai ‘tahap didih’ (boiling point) yang berakhir dengan lafaz talak.

Namun, pujian harus diberikan kepada UMNO yang masih mahu bekerjasama dengan Bersatu. Selepas fiasco kepimpinan Pakatan Harapan (PH) yang membuka jalan kepada peralihan kuasa tahun lalu, kesudian UMNOlah yang memungkinkan Bersatu membentuk kerajaan.

Di sebalik tindakan Bersatu yang giat memancing wakil-wakil rakyatnya sebelum itu, UMNO masih boleh berjiwa besar menerima pelawaan tersebut walaupun marah dan sedar tentang rapuhnya kerajaan yang bakal dibentuk Bersatu.

Dari awal, UMNO jelas menyatakan bahawa sokongan mereka hanya sehingga Parlimen dibubarkan. Lebih tepat, sekiranya ada pilihan raya umum, maka UMNO akan kembali bertanding bersendirian. Mungkin atas pendirian itulah, Bersatu dilihat acap kali membuli dan menekan UMNO.

Daripada isu lantikan Kabinet, pembahagian kerusi di Sabah sehinggalah kes mahkamah UMNO, ia menghantar isyarat 'clear and present danger' buat parti tersebut.

Artikel Berkaitan:

UMNO sudah sampai sanggup berpatah arang dengan Bersatu. Perpisahan ini akan mengorbankan peluang terbaik PN untuk menguasai 126 kawasan pengundi Melayu yang mampu menyumbang majoriti 2/3 sekiranya mereka masih kekal bersepakat.

Untuk rekod, pada PRU14, peralihan undi di kawasan Melayu terutama di Johor dan Sabah telah menyumbang kepada kemenangan PH. Antara faktor yang menyumbang kepada peralihan itu adalah pertandingan tiga penjuru antara UMNO, PH (ketika PRU14 menggunakan lambang PKR) dan Pas di kawasan-kawasan tersebut.

Dengan terputusnya kerjasama tersebut, kita bakal menyaksikan senario yang sama berulang pada PRU15. Kalau PRU14 dijadikan iktibar, PH mungkin bakal memperoleh sedikit kelebihan. Cuma mungkin kali ini PH berhadapan dengan persepsi negatif orang Melayu terutama DAP.

Namun, isu pokoknya jelas bahawa perpecahan tersebut tidak bagus untuk sesiapa pun sama ada UMNO, Bersatu mahupun Pas dalam konteks politik orang Melayu.

Sebagai parti lama, UMNO tentunya faham dengan sifat politik di Malaysia. Agak sukar bagi mana-mana parti bertanding secara bersendirian untuk membentuk kerajaan tanpa pakatan strategik dengan parti-parti yang lain.

Sejarah memperlihatkan bahawa parti-parti gabungan selalunya secara konsisten akan memenangi pilihan raya disebabkan faktor kerencaman kaum. Jadi, penyatuan Melayu semata-mata mungkin belum cukup untuk menjamin kemenangan dalam mana-mana pilihan raya.

Persoalannya, adakah UMNO mampu membentuk jajaran baharu dalam gerakan politik mereka? Setakat ini BN masih wujud sebagai wadah tersebut.

Namun, pakatan dan kerjasama parti-parti di dalamnya tidaklah sebesar dahulu. Malah, kualiti pemain politik yang ada dalam BN itu juga tidak sehebat pemain sebelumnya. Dengan saingan dan naratif politik yang kian mencabar, mampukah UMNO menawarkan sesuatu yang segar sebagai kerangka baharu dalam politik mereka melalui BN?

Jika masih berterusan menggunakan naratif Melayu-Islam, barangkali adalah lebih baik UMNO terus kekal berkerjasama dengan Bersatu dan Pas dalam PN.

UMNO sudah sampai sanggup berpatah arang dengan Bersatu.

* Mujibu Abd Muis ialah Pensyarah Kanan Sains Politik Fakulti Sains Pentadbiran & Pengajian Polisi Universiti Teknologi MARA (UiTM)

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!