UMNO nak keluar, keluar saja!
AWANG setuju sangat dengan pandangan Tengku Razaleigh Hamzah (Ku Li), kalau UMNO nak keluar dari PN, keluar sajalah. Berhenti main wayang kulit. Biarlah kerajaan PN tumbang kalau itu yang dimahukan oleh akar umbi UMNO.
Cakap biar terus terang. Tak payah selindung-selndung di sebalik mesyuarat tertutup atau retreat. Menteri UMNO kenalah letak jawatan serta-mereta. Mereka yang dalam lembaga pengarah macam-macam syarikat GLC pun kenalah letak jawatan.
Nampaknya Tan Sri Perdana Menteri pun dah kata, jikalau betul UMNO tak mahu berada dalam kerajaan cakap terang-terang. Biarlah Bersatu cari rakan kongsi lain untuk terus memerintah.
Bersatu pun macam dah bersedia untuk hadapI segala kemungkinan. Mereka ada sekutu macam Pas, STAR, SAPP dan lain-lain.
Pas pun kata mereka akan pertahankan kerajaan PN tapi akan bersama dalam Muafakat Nasional. Nampaknya Pas yang untung walau dalam apa keadaan sekali pun.
Pada pendapat banyak orang yang tak mahu bersama PN adalah pemimpin yang ada masalah dengan mahkamah. Mereka kesal Tan Sri Perdana Menteri tak campur tangan untuk “hilangkan” kes mereka. Ini disahkan sendiri oleh Tuk Seri Ahmad Maslan tak lama dulu.
Awang rasa ini peluang terbaik bagi UMNO untuk bersihkan parti. Parti itu masih kuat dan ada pengaruh. Tun mantan Perdana Menteri sendiri akui dia masih sayang pada UMNO tapi tak mahu bekerja dengan pemimpin yang ada rekod rasuah dan salahguna kuasa.
Pada pendapat Awang kalau betul UMNO yakin kekuatan sendiri ikutlah nasihat Ku Li. Tunggu apa lagi?
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!