Seksa dipenjara beri kesan besar kepada Syafi
SEREMBAN - [LAPORAN KHAS] Menghabiskan hidup selama enam bulan di penjara cukup memberi keinsafan kepada seorang banduan yang nekad berubah selepas dibebaskan pada awal tahun 2020.
Pemuda yang mahu dikenali sebagai Syafi, 42, berkata, dia dijatuhkan hukuman penjara enam bulan atas kesalahan bersubahat memiliki dadah.
“Saya berada di tempat yang salah pada hari yang salah iaitu di rumah kawan yang memiliki dadah, menyebabkan saya dituduh bersubahat.
“Saya ditangkap dan selepas 11 kali turun naik mahkamah, saya dihukum penjara,” katanya.
Menurutnya, kali pertama menjejakkan kaki di penjara, dia benar-benar insaf dan nekad mahu membuka buku baharu apabila dibebaskan.
Malah, kata Syafi, tempoh enam bulan di penjara itu disifatkan sangat panjang dan ada kalanya membuatkan hidupnya tertekan.
“Saya akui dulu saya memang agak nakal. Perbuatan paling teruk pernah saya buat ialah bergaduh sehingga memukul orang.
“Tapi waktu itu saya bernasib baik kerana tidak ditangkap atas kesalahan itu, tapi ditangkap pula atas kesalahan bersubahat dengan kawan yang memiliki dadah.
“Tapi cukuplah sekali saja dipenjarakan.
“Saya tak mahu ke sana lagi, ia sangat terseksa” katanya.
Pemuda yang berasal dari Sabah itu berkata, keperitan menghabiskan sisa enam bulan di penjara itu diisi oleh Syafi dengan mendalami ilmu agama sehingga diberi kepercayaan untuk mengajar Iqra kepada banduan lain.
Namun katanya, sehingga kini ahli keluarganya di Sabah tidak mengetahui yang dia pernah dimasukkan ke dalam penjara.
“Cukuplah ia jadi rahsia saya. Sekarang saya mahu jadi Syafi yang baru,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!