Dengar pergaduhan sebelum 13 motosikal dibakar

Tujuh daripada 13 buah motosikal di Flat Pinang Emas di Batu Feringghi musnah dalam kebakaran awal pagi Sabtu. (Gambar kecil: Soffian)
Tujuh daripada 13 buah motosikal di Flat Pinang Emas di Batu Feringghi musnah dalam kebakaran awal pagi Sabtu. (Gambar kecil: Soffian)
A
A
A

GEORGETOWN - Penduduk Flat Pinang Emas, Batu Feringghi mendakwa terdengar bunyi riuh seperti orang sedang bergaduh sebelum kejadian kebakaran yang merosakkan 13 buah motosikal dan sebuah kereta, awal pagi Sabtu.

Noreda Haja, 57 berkata, dia terdengar bunyi bising seperti sekumpulan individu sedang bergaduh di bahagian parkir Blok B flat tersebut kira-kira jam 1 pagi.

Tambahnya, sejam kemudian, keadaan menjadi riuh rendah sebelum mendapati api sedang marak di parkir flat dengan beberapa buah motosikal hangus.

"Pada jam 1 pagi, saya ada terdengar seperti orang bergaduh tetapi tidak sangka pula akan berlaku kejadian kebakaran ini.

"Penduduk yang menyedari kejadian itu bergegas turun untuk menyelamatkan kenderaan yang berada di parkir. Dua buah motosikal Honda EX5 anak saya berjaya diselamatkan," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian pada Sabtu.

Sementara itu, polis mengesahkan 13 buah motosikal yang di letakkan di bawah flat tersebut rosak selepas terbakar dalam kejadian pada jam 3.20 pagi.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Soffian Santong berkata, tujuh daripada motosikal tersebut hangus keseluruhannya manakala bakinya mengalami sedikit kerosakan.

Menurutnya, selain motosikal itu, sebuah kereta turut mengalami kerosakan kecil akibat daripada kesan kebakaran terbabit.

Artikel Berkaitan:

Tambahnya, ketika polis tiba di lokasi kejadian, api sedang marak di kawasan parkir flat berkenaan.

"Api dapat dikawal oleh anggota bomba dan dibantu penduduk flat kira-kira jam 3.40 pagi. Siasatan mendapati, tujuh motosikal hangus dengan empat daripadanya jenis Honda EX5 dan masing-masing sebuah Yamaha LC 135, Honda C100 dan Honda Dash.

"Enam motosikal yang mengalami kerosakan kecil adalah Suzuki Nex; Yamaha Ego; tiga buah Honda EX5 dan Yamaha RXZ termasuk sebuah Perodua Myvi," katanya ketika dihubungi pada Sabtu.

Soffian berkata, punca kebakaran masih dalam siasatan polis dan bomba.

Sementara itu, Pegawai Bomba Kanan II Balai Bomba dan Penyelamat Bagan Jermal, Hassan Hussain berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 3.26 pagi.

Menurutnya, api berjaya dikawal sepenuhnya pada jam 4.45 pagi dan tidak melibatkan mangsa dalam kebakaran tersebut.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!