Guru wujudkan gerobok rezeki bantu pelajar, keluarga B40

Bantuan barangan beras juga disediakan menerusi Gerobok Rezeki di SMK Kampong Pasir Puteh.
Bantuan barangan beras juga disediakan menerusi Gerobok Rezeki di SMK Kampong Pasir Puteh.
A
A
A

IPOH - 'Ada pelajar saya yang sanggup berlapar kerana tiada duit untuk beli makanan di kantin'.

Kenyataan itu menyentuh hati seorang guru, Adura Mohamed, 54, di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kampong Pasir Puteh di sini hingga mendorongnya membuka 'Gerobok Rezeki'.

Gerobok rezeki yang dijadikan ruangan penyimpanan makanan, minuman dan barangan keperluan masakan diwujudkan khusus bagi membantu pelajar sekolah itu yang kurang berkemampuan mendapatkan bekalan makanan.

Barangan yang disediakan hasil sumbangan orang ramai termasuk Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan individu itu juga untuk dimanfaatkan keluarga pelajar.

Adura yang baharu bertukar ke sekolah berkenaan pada Julai tahun lalu berkata, inisiatif berkenaan diambil setelah melihat beberapa pelajar di dalam kelasnya tidak keluar ke kantin untuk membeli makanan semasa waktu rehat.

Menurutnya, ramai dalam kalangan mereka lebih memilih untuk tidur atau berbual bersama rakan dan apabila ditanya, hanya memberi alasan masih kenyang kerana sudah bersarapan di rumah.

"Saya tidak sedap hati melihat keadaan itu, apabila diselidik baharulah saya tahu mereka sebenarnya tidak mempunyai duit belanja ke sekolah.

"Mereka hanya sarapan di rumah dan akan makan semula di rumah sebaik pulang dari sekolah.

Artikel Berkaitan:

"Situasi ini bukan berlaku dalam kalangan pelajar saya sahaja, tetapi di kelas-kelas lain juga, bayangkanlah dalam tempoh sesi pembelajaran lima ke enam jam itu, mereka sanggup menahan lapar, saya tak sampai hati melihat keadaan itu," katanya ketika ditemui pemberita.

Adura merancang untuk meletakkan bekalan roti, biskut dan minuman kotak menjelang sesi persekolahan nanti supaya dapat dijadikan bekalan makanan pelajar ketika waktu rehat.
Adura merancang untuk meletakkan bekalan roti, biskut dan minuman kotak menjelang sesi persekolahan nanti supaya dapat dijadikan bekalan makanan pelajar ketika waktu rehat.

Beliau kemudiannya nekad mengemukakan cadangan untuk mewujudkan Gerobok Rezeki kepada pengurusan sekolah dan dengan bermodalkan RM5,000 program berkenaan dapat dilaksanakan bermula 4 Februari lalu.

Katanya, dua almari disediakan berisi barangan makanan asas seperti beras, kicap, gula, susu, bihun, sardin dan tepung itu diletakkan di hadapan surau sekolah berhampiran pintu masuk utama bagi memudahkan ibu bapa mengambilnya.

"Mana-mana ibu bapa pelajar yang berdepan masalah kewangan untuk mendapatkan barangan keperluan makanan, boleh mendapatkan barangan ini secara percuma pada bila-bila masa sahaja, hanya perlu datang dan maklumkan kepada pengawal.

"Matlamat kita untuk pastikan pelajar-pelajar ini ada makanan untuk di makan di rumah," katanya.

Penolong Guru Kanan Kokurikulum itu berkata, setakat ini tidak kurang 40 keluarga telah memanfaatkan kemudahan Gerobok Rezeki berkenaan.

Katanya, setiap minggu stok barang makanan itu ditambah dengan nilai antara RM350 ke RM400 dan mengikut perancangan, pelbagai barangan lagi antaranya telur dan kobis akan diletakkan menjelang sesi persekolahan dibuka nanti.

"Alhamdulillah, banyak pihak tampil membantu hinggakan setiap minggu ada sahaja barangan baharu diletakkan di sini.

"Apabila sesi persekolahan dibuka nanti, kita akan letakkan juga roti, biskut dan minuman kotak supaya pelajar-pelajar boleh jadikannya sebagai bekalan makanan ketika waktu rehat atau ketika mereka lapar," katanya.

Sementara itu, Pengetua SMK Kampong Pasir Puteh, Razak Malek Taharim berkata, lebih 50 peratus daripada keseluruhan 1,158 pelajar terdiri Tingkatan 1 hingga Tingkatan 6 adalah daripada keluarga B40.

Justeru katanya, bantuan seumpama itu adalah tepat sebagai dorongan dan motivasi kepada pelajar betapa guru dan pihak sekolah ambil berat terhadap kebajikan mereka.

"Menerusi Gerobok Rezeki ini juga, pihak sekolah telah melancarkan bantuan bersasar secara mingguan iaitu berupa bakul makanan bernilai RM50 khusus kepada keluarga pelajar dan kakitangan sekolah seperti pengawal dan pekerja pembersihan yang tergolong dalam kumpulan B40.

"Pengagihan bantuan ini diagihkan dengan merujuk kepada pangkalan data pelajar bagi membolehkan semua warga sekolah mendapat bantuan sewajarnya.

"Tidak hanya berupa makanan, kita juga merancang untuk mengagihkan bantuan pakaian dan kasut sekolah serta bantuan-bantuan lain yang diperlukan," katanya yang juga baharu bertukar ke sekolah itu tahun ini.

Orang ramai yang ingin mendapatkan maklumat dan menyalurkan sumbangan boleh menghubungi pihak sekolah di talian 05-3225150.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!