KPDNHEP pantau aktiviti penyeludupan petrol, diesel

Nanta Linggi (kanan) menunjukkan harga semasa bahan api ketika meninjau perlaksanaan peti dan buku log lawatan penguatkuasa di Stesen Minyak Pasir Pekan, Tumpat.
Nanta Linggi (kanan) menunjukkan harga semasa bahan api ketika meninjau perlaksanaan peti dan buku log lawatan penguatkuasa di Stesen Minyak Pasir Pekan, Tumpat.
A
A
A

TUMPAT - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) menjadikan peti dan buku log lawatan sebagai kaedah dalam mencegah aktiviti penyeludupan bahan petrol dan diesel bersubsidi ke negara jiran.

Menterinya Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, peti dan buku log itu akan ditempatkan di semua stesen-stesen minyak yang berada di seluruh kawasan sempadan negara.

"Dengan adanya peti dan buku log ini anggota penguatkuasa KPDNHEP akan melakukan pemantauan rapi ke atas rekod jualan bahan api itu bagi mengelakkan berlakunya ketirisan.

"Selain itu, anggota penguatkuasa juga akan membuat pemantauan khususnya terhadap kenderaan asing yang masuk untuk mengisi minyak di stesen yang berada di sempadan negara," katanya kepada pemberita selepas meninjau perlaksanaan peti dan buku log lawatan penguatkuasa di Stesen Minyak Pasir Pekan di sini pada Sabtu.

Menurutnya, kerajaan tidak mahu kenderaan asing masuk ke dalam negara ini bagi mengambil peluang untuk mengisi bahan api itu dengan tujuan mendapatkan harga lebih murah berbanding tempat mereka.

Beliau berkata, hal ini berikutan harga bahan api di negara jiran lebih tinggi berbanding Malaysia.

Nanta Linggi berkata, idea penggunaan peti dan buku log lawatan itu diinspirasi daripada perlaksanaan peti polis di premis-premis berisiko seperti bank, stesen minyak serta kedai serbaneka bagi mencegah perlakuan jenayah.

Beliau berkata, langkah ini secara tidak langsung akan memberi mesej yang jelas bahawa kerajaan tidak berkompromi dengan mana-mana pihak yang terlibat dalam aktiviti penyelewengan dan penyeludupan bahan api itu.

Artikel Berkaitan:

Dalam perkembangan lain, Nanta Linggi berkata, kerjasama dengan agensi sempadan terus diperhebatkan dalam usaha mencegah aktiviti penyeludupan barangan bersubsidi ke negara jiran.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!