Sampel air Sungai Kuang dianalisis

Rosli (tiga dari kiri) bersama Mohd Akmal (tengah) dan Rumaizi (tiga dari kanan) ketika program kempen pengumpulan buangan elektrik dan elektronik (e-waste) di Dewan Komuniti Kampung Ulu Chepor Tambahan, Chemor di Ipoh pada Sabtu.
Rosli (tiga dari kiri) bersama Mohd Akmal (tengah) dan Rumaizi (tiga dari kanan) ketika program kempen pengumpulan buangan elektrik dan elektronik (e-waste) di Dewan Komuniti Kampung Ulu Chepor Tambahan, Chemor di Ipoh pada Sabtu.
A
A
A

IPOH - Jabatan Alam Sekitar (JAS) telah menghantar sampel air dari Sungai Kuang ke Jabatan Kimia untuk dianalisis kandungannya sama ada mempunyai bahan berbahaya atau tidak.

Pengarah JAS Perak, Rosli Zul berkata, dakwaan penduduk Kampung Ulu Kuang berhubung pencemaran sungai tersebut berasas selepas pihaknya mendapati keadaan alur air yang mengalir ke Sungai Kuang dicemari najis haiwan ternakan.

Setakat ini, katanya, JAS tidak dapat menentukan sama ada air sungai tersebut selamat digunakan atau sebaliknya kerana keputusan sampel mengambil masa sebulan untuk diketahui.

"Kita telah menasihatkan pemilik ladang haiwan itu supaya tidak melepaskan najis haiwan terus ke dalam sungai sebaliknya menyalurkannya ke dalam kolam takungan khas sebagai tindakan segera mengatasi pencemaran tersebut.

"Buat masa ini kita nasihatkan penduduk tidak menggunakan air sungai tersebut untuk kegunaan harian sehingga keputusan ujian sampel air tersebut diperoleh," katanya kepada pemberita ketika ditemui pada program kempen pengumpulan buangan elektrik dan elektronik (e-waste) di Dewan Komuniti Kampung Ulu Chepor Tambahan, Chemor di sini pada Sabtu.

Hadir sama pada program tersebut ialah Exco Kesihatan, Sains, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau negeri, Mohd Akmal Kamarudin dan Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin.

Dalam perkembangan berkaitan, Rosli berkata, JAS akan bekerjasama rapat dengan Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) bagi menyelesaikan isu berkenaan mengikut peruntukan undang-undang.

Menurutnya, JAS tidak boleh mengambil tindakan ke atas pengusaha ternakan tersebut kerana ia tiada dalam peruntukan undang-undang, bagaimanapun terdapat peruntukan di bawah undang-undang pihak berkuasa tempatan (PBT) yang boleh digunakan berhubung perkara itu.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Rumaizi berkata, MBI boleh mengambil tindakan penguatkuasaan dengan menyita ladang tersebut sekiranya jelas melanggar undang-undang.

Bagaimanapun katanya, MBI akan cuba menyelesaikan isu tersebut secara perundingan dengan pengusaha agar operasi ladang haiwan itu dilaksanakan mengikut peruntukan undang-undang.

"Sebarang tindakan perundangan mengambil kira pelbagai faktor. Jika tindakan menyita ladang itu dibuat, kita bimbang akan mengganggu rantaian makanan dan keperluan daging di negara ini.

"Jadi kita akan minta pihak ladang untuk menambah baik sistem operasi mereka. Jika perlu dipindahkan ke lokasi baharu, kita akan pertimbangkan," katanya.

Pada 3 Mac lalu, Sinar Harian menyiarkan kebimbangan penduduk Kampung Ulu Kuang terhadap Sungai Kuang yang kini tidak sejernih dahulu dipercayai akibat pencemaran sejak beberapa tahun lalu.

ARTIKEL BERKAITAN: Sungai Kuang bertukar warna, bau najis

JAS mulakan siasatan Sungai Kuang

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!