'Banyak UMNO Bahagian mahu teruskan kerjasama'
SHAH ALAM - Ahli Parlimen Ketereh, Tan Sri Annuar Musa mendakwa banyak UMNO Bahagian yang lebih suka mengambil pendekatan strategik untuk meneruskan kerjasama sesama parti Melayu.
Annuar berkata, dapatan itu berdasarkan tinjauan dengan UMNO Bahagian sebelum ini, bagaimanapun pendirian itu hanya akan diputuskan setelah Parlimen dibubarkan.
“Sementara itu, perundingan hendaklah terus dilakukan, mencari formula terbaik untuk menang.
“Semakin jelas dakwaan kononnya 147 UMNO Bahagian telah membuat keputusan untuk menolak Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) juga didapati tidak tepat.
"Ia hanya angka yang dipetik dari 'WhatsApp group' ketua-ketua bahagian,” katanya menerusi hantaran di Facebook beliau pada Sabtu.
Pada Khamis, UMNO menerusi kenyataan menyatakan parti itu tidak akan bekerjasama dengan Bersatu pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) dan hanya akan bekerjasama dengan Perikatan Nasional (PN) sehingga Parlimen dibubarkan.
Bagaimanapun, selepas itu, UMNO Perlis dan Sabah dilaporkan menyatakan bahawa mereka akan tetap meneruskan kerjasama dengan Bersatu.
Sementara itu, Annuar mendakwa, hanya 118 UMNO Bahagian yang mengemukakan usul berkenaan.
Beliau mendakwa, ia juga adalah kerana diarah dan bukan semua telah menepati prosedur mengemukakan usul.
“Ramai juga yang tidak jelas dan setelah mendapat penjelasan berhasrat mengubah pendirian serta mengambil pendirian lebih strategik.
“Difahamkan beberapa pemimpin kanan parti akan mula turun ke bawah membuat penjelasan dan mengambil pendirian menolak cara yang diambil pemimpin tertentu,” katanya.
Bekas Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN) itu berkata, kerjasama antara semua parti Melayu, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan orang Melayu wajib diteruskan.
“Malah UMNO wajib memimpin muafakat parti-parti orang Melayu, bukan lari darinya. Apa-apa keputusan tidak dibuat sekarang hanya melemahkan UMNO.
“Apa lagi di saat antara UMNO, Pas dan Bersatu telah disepakati bahawa UMNO akan bertanding paling banyak kerusi,” katanya.
Annuar berkata, menolak mana-mana parti Melayu hanya memecahkan undi Melayu dan merugikan parti itu sendiri.
“Menolak kerjasama dengan parti Melayu hanya menyebabkan undi untuk UMNO akan susut dan UMNO yang rugi.
“Kini semakin banyak UMNO Bahagian memilih mengkaji semula pendirian dengan lebih teliti untuk mengambil langkah lebih bijaksana iaitu kekal bekerjsama, berunding sesama parti Melayu, fokus menjayakan usaha kerajaan membantu rakyat memerangi Covid-19, menjayakan pelan imunisasi dan memulihkan ekonomi,” katanya.
Dalam masa sama, Annuar turut membayangkan akan ada negeri lain yang akan mengikut jejak langkah UMNO Perlis dan Sabah untuk bekerjasama dengan Bersatu.
Tambah beliau, strategi ke arah pilihan raya hendaklah pragmatik dan hanya membuat ketetapan apabila tiba pada masanya serta bukan sekarang.
“Untuk memastikan satu lawan satu dengan Pakatan Harapan (PH), kita semua wajib bermuafakat, bukan berpecah,” katanya.
-end-
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!