Wanita MCA lulus 21 resolusi
KUALA LUMPUR - Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) ke-45 pergerakan Wanita MCA pada Sabtu meluluskan 21 resolusi yang merangkumi isu-isu politik, hal ehwal parti, ekonomi, pendidikan, kemanusiaan dan sosial serta aspek berkaitan wanita dan kanak-kanak.
Ketetapan itu diluluskan oleh 686 perwakilan yang menghadiri AGM yang diadakan secara hibrid susulan pandemik, selepas ia dibahaskan oleh 14 perwakilan dari 13 negeri kecuali Sarawak dan wakil belia.
Kira-kira 32 perwakilan menghadiri AGM secara fizikal di ibu pejabat MCA di sini manakala selebihnya mengambil bahagian secara maya.
Salah satu resolusi yang diluluskan adalah untuk menyokong usaha-usaha kerajaan dalam program vaksinasi percuma Covid-19 dan pada masa yang sama mendesak kerajaan serta pemimpin pembangkang untuk mengetepikan perbezaan mereka dan bersama-sama memimpin negara ini untuk mengekang pandemik dan membina semula ekonomi negara.
Mengenai ekonomi, Wanita MCA meminta kerajaan merumuskan rancangan penyelesaian ekonomi yang boleh dilaksanakan dan efektif, merangkumi kelonggaran peraturan pinjaman, menarik pelaburan asing, membantu pemulihan ekonomi dan menghidupkan kembali semua lapisan masyarakat dan mencipta lebih banyak peluang pekerjaan.
Para perwakilan juga mahu kerajaan memberikan bantuan kewangan yang lebih baik kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS), termasuk mengukuhkan kemudahan dan insentif pinjaman serta mengkaji semula dasar cukai bagi menangani isu aliran tunai.
Mengenai kemanusiaan dan masyarakat, mereka mendesak kerajaan mengambil tindakan tegas terhadap pihak yang membuat pernyataan berbentuk ekstremis mengenai isu-isu perkauman serta agama, dan memprovokasi sentimen perkauman, di samping melarang kegiatan haram termasuk perjudian dalam talian.
Selaras dengan peningkatan jumlah kes keganasan rumah tangga yang dilaporkan semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), para perwakilan juga mendesak Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) menangani masalah ini dan memberikan penyelesaian yang efektif kepada mereka yang dianiaya. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!