Fenomena Sakura Kedah tidak semeriah tahun lalu

Pokok bunga Tekoma tidak berbunga lebat pada tahun ini dan hanya beberapa pokok mengeluarkan bunga.
Pokok bunga Tekoma tidak berbunga lebat pada tahun ini dan hanya beberapa pokok mengeluarkan bunga.
A
A
A

ALOR SETAR - Fenomena Sakura Kedah pada tahun ini tidak semeriah seperti tahun-tahun sebelumnya, yang menyaksikan hampir keseluruhan bandaraya ini dihiasi kombinasi pelbagai warna bunga Tekoma.

Saban tahun, ramai ternanti-nantikan kedatangan musim Sakura Kedah ini yang kembang mekar pada bulan Mac, namun kali ini peminat Tekoma hampa apabila tidak dapat merakamkan saat indah itu susulan bunganya tidak kembang serentak dan gugur sebagaimana lazimnya.

Hanya beberapa pokok Tekoma berbunga walaupun ditanam di sepanjang jalan, malah terdapat kawasan yang langsung tidak berbunga.

Tiada lagi hamparan ribuan bunga putih, merah jambu, merah jambu gelap dan ungu mekar penuh, sehingga menjadi lokasi orang ramai singgah berswafoto untuk menghargai keindahan alam ciptaan Ilahi ini.

Tekoma atau nama saintifiknya Tabebuia Pentaphylla, berasal dari Caribbean dan Amerika Selatan, berbunga semasa musim kemarau di bahagian utara Semenanjung.

Antara tempat tumpuan termasuk di Jalan Langgar, Jalan Suka Menanti, Jalan Kuala Kedah, Lebuhraya Darul Aman, berhadapan Masjid AlBukhary, Taman Jubli Emas, Hospital lama Alor Setar serta jalan ke Gunung Jerai dan Yan.

Datuk Bandar Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS), Datuk Zaid Ahmad berkata, terdapat kira-kira 1,000 pokok Tekoma di daerah Kota Setar yang direkodkan.

Hamparan bunga Tekoma yang gugur seolah permaidani, yang dirakam pada tahun lalu.
Hamparan bunga Tekoma yang gugur seolah permaidani, yang dirakam pada tahun lalu.

Artikel Berkaitan:

"Pokok-pokok itu ditanam di sepanjang jalan utama di mana kebanyakan pokok kini menjangkau usia antara 20 hingga 25 tahun. Mungkin pokok itu ada ditanam di negeri lain tetapi ia hanya berbunga di negeri-negeri utara yang cuacanya panas dan kering,” katanya.

Menurutnya, lazimnya setiap Februari menandakan permulaan musim berbunga dan mencapai kemuncaknya pada Mac.

“Pokok yang ditanam sebagai teduhan tepi jalan ini kebiasaan mekar dan berbunga serentak sehingga mencetuskan fenomena Sakura Kedah, namun tahun ini Tekoma tidak berbunga mekar secara serentak mungkin disebabkan faktor cuaca atau pokoknya yang telah berusia,” katanya.

Zaid berkata, di beberapa jalan, Tekoma mula berbunga awal Februari namun hanya sekejap dan tidak mekar sepenuhnya.

“Lazimnya ia berbunga lebat pada penghujung musim kemarau sekitar Mac, sebagai menandakan musim hujan akan tiba. Kebiasaan bunganya bertahan sehingga dua atau tiga minggu sebelum gugur sepenuhnya namun tahun ini tempohnya lebih singkat.

"Tahun ini seakan kurang mekar, tak pasti kenapa, namun bahagian landskap MBAS sedang siasat dan analisa perkara ini,” katanya.

Batai laut pengganti Tekoma

Peminat bunga Tekoma, Noorhidayah Anuar, 41 berkata, saban tahun dia teruja menantikan kedatangan musim Sakura Kedah namun kali ini terpaksa menggantikannya dengan bunga batai laut.

“Saya dapati Tekoma tetap berbunga cuma tidak semeriah tahun lepas yang berbunga dan gugur serentak. Tahun lalu kita boleh nikmati keindahan warna-warni bunganya tapi kali ini dalam sebaris pokok, hanya satu dua pokok berbunga lebat,” katanya.

Menurutnya, disebabkan tidak dapat berswafoto dengan Tekoma, dia beralih kepada bunga batai laut yang tidak kurang hebatnya.

Gambar kanan: Noorhidayah bergambar bersama bunga batai laut sebagai pengganti Tekoma.
Gambar kanan: Noorhidayah bergambar bersama bunga batai laut sebagai pengganti Tekoma.

“Bunga kuning batai laut pun cantik, seolah berada di luar negara pada musim luruh. Walaupun sedikit kecewa ketiadaan Tekoma, sesekali kita angkat pula bunga batai laut untuk dipromosikan sebagai produk pelancongan Kedah,” katanya.

Bagi Hanim Hashim, 45 pula, turut melahirkan rasa kecewa kerana tidak sempat merakamkan gambar bersama Tekoma.

“Setiap tahun saya tak jemu abadikan gambar di bawah rimbunan bunga Tekoma di laman sosial, kali ini tak sempat sebab tak mekar serentak, hanya beberapa pokok saja berbunga, tak cantiklah nak bergambar,” katanya.

Menurutnya, diharap tahun depan Tekoma kembali berbunga lebat agar ia terus menjadi tarikan buat pelancong mengunjungi Kedah.

Batai laut atau nama saintifiknya peltophorum pterocarpum berasal dari Asia Tenggara, India dan Australia. Bunganya berwarna kuning keemasan dan berjambak-jambak keluar dari hujung dahan.

Pokok ini berbunga pada musim panas bergantung kepada keadaan cuaca yang panas sekitar Mac hingga Jun.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!