Hostel pekerja asing kotor, jijik
KLANG - Kotor, jijik dan berbau. Itu antara keadaan di 400 hostel pekerja asing di sekitar daerah ini dan Banting, Selangor selepas diperiksa Jabatan Tenaga Kerja (JTK), pada Sabtu.
Pengarah JTK Negeri Selangor, Ahmad Mudi Onn Nor berkata, operasi Task Force Pematuhan Penginapan Kebangsaan bermula jam 9 pagi itu bertindak memeriksa di lima buah kilang yang menempatkan 400 hostel pekerja asing.
"Pemeriksaan mendapati majikan gagal menepati dan memenuhi kehendak di bawah Akta Standard Minimum Perumahan, Penginapan dan Kemudahan Pekerja 1990 (Akta 446).
"Kita telah mengesan beberapa kesalahan antaranya premis kediaman yang kotor, jumlah katil yang banyak dalam satu kediaman dan lain-lain," katanya kepada Sinar Harian pada Sabtu.
Beliau berkata, antara kesalahan lain yang dikesan adalah tiada peti pertolongan cemas, tilam kurang daripada empat inci tebal dan almari yang tidak mengikut spesifikasi sepatutnya.
Katanya, susulan itu pihaknya telah memberi amaran kepada lima majikan sektor pembuatan terlibat untuk memperbaiki masalah terbabit.
"Sekiranya gagal menyelesaikan dalam tempoh 14 hari, kertas siasatan akan dibuka di bawah Akta 446," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!