Pas Perak cari jalan damai untuk UMNO, Bersatu
IPOH - Pas Perak sedang berusaha mendamaikan hubungan antara UMNO dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) berikutan keputusan UMNO yang dibuat sebelum ini.
Setiausaha Pas Perak, Mohd Akmal Kamarudin berkata, bagaimanapun Pas tetap menghormati keputusan yang dibuat oleh UMNO yang tidak mahu bekerjasama dengan Bersatu pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) nanti.
Menurutnya, biarpun begitu, hubungan di antara Pas dengan UMNO dan Bersatu masih dalam keadaan baik.
"Kita menghormati pandangan semua pihak sebagai mana isteri pertama membenarkan suaminya untuk bermadu walaupun dalam hatinya tidak bersetuju tetapi dia menghormati suaminya menikah lagi seorang.
"Jadi mungkin ada perkara-perkara yang tidak setuju sekurang-kurangnya kita menghormati kalau UMNO minta kita menghormati pendirian mereka untuk tidak bersama dengan Bersatu, kita juga minta UMNO menghormati kita bersama Bersatu di dalam Perikatan Nasional (PN)," katanya kepada pemberita pada sidang akhbar selepas menghadiri Kempen Pengumpulan Buangan Elektrik dan Elektronik (E-Waste) di Kampung Ulu Chepor Tambahan di sini pada Sabtu.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai usaha dilakukan Pas Perak bagi membaiki hubungan di antara UMNO dan Bersatu menjelang PRU15.
Sementara itu Mohd Akmal berkata, Pas dan UMNO sering berbincang begitu juga dengan Bersatu malah apabila bersama Bersatu, Pas tidak memburukkan UMNO dan begitu juga sebaliknya.
Bersatu pada Khamis mengesahkan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menghantar surat berhubung pendirian parti itu kepada Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Sementara itu, UMNO Perak pada 5 Mac menjelaskan keputusan UMNO untuk tidak bekerjasama dengan Bersatu pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) kerana parti itu tidak ikhlas ketika bersama dalam kerajaan Perikatan Nasional (PN).
ARTIKEL BERKAITAN: Bersatu tidak ikhlas punca UMNO tarik diri
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!