Hidup memang penuh kepalsuan...
SEAWAL di sekolah rendah lagi, sebagai budak kampung yang masih hingusan, saya telah mendengar istilah ‘cinta palsu’. Saya tidak tahu pun apa ertinya.
Saya mendengar perkataan tersebut daripada perbualan anak-anak muda di serambi surau sementara menunggu azan Isyak.
Abang Rahman – orang kampung menggelarnya Man Terompah –menjadi tumpuan perbualan sebab dikatakan menjadi mangsa cinta palsu.
Dua tiga tahun setelah perbualan di serambi surau itu, barulah saya tahu apa erti cinta palsu. Alkisahnya, Peah anak Tok Ketua, ditunangkan dan akan berkahwin dengan guru lepasan maktab.
Peah memang telah lama menjadi ‘endut’ – istilah orang kampung saya untuk ‘kekasih’ – Abang Man, berjanji untuk sehidup semati.
Setelah menerima pinangan cikgu dari kampung seberang itu, sahlah Peah telah memungkiri janji. Akibat cinta palsu itu Man Terompah meninggalkan kampung.
Sewaktu di tingkatan lima saya berendut sakan dengan seorang gadis sekelas. Walaupun cinta monyet, indahnya bukan mainan, lebih hebat daripada Laila-Majnun. Seluruh sekolah tahu.
Tetapi menjelang beberapa hari sebelum SPM, saya diberitahu ‘Laila’ saya dilamar jejaka berskuter @ Vespa, dan akan kahwin tidak lama lagi.
Baru saya tahu betapa pedihnya penangan cinta palsu! Maka tidak menghairankan, sebaik lepas SPM, saya berkelana di Kuala Lumpur.
Budak kampung masuk bandar, banyaklah kepalsuan yang saya pelajari. Baru sebulan berkongsi bilik di Kampung Baru, rakan kongsi menyatakan amat simpati kepada saya.
Katanya, dia hendak menderma RM20 kepada saya, tetapi dia tidak ada duit kecil, hanya ada sekeping RM50. “Engkau bagi aku RM30, engkau ambil RM50 aku,” katanya.
Baik sungguh hatinya. Kemudian baru saya tahu note RM50 itu adalah wang palsu! Dan rakan itu tidak saya temui hingga hari ini. Saya halalkan RM30 itu.
Bila saya menjadi wartawan di Jalan Chan Sow Lin, semakin banyaklah benda-benda palsu yang saya ketahui, malah saya alami sendiri.
Antara yang saya alami ialah membeli tiket bas untuk pulang beraya di kampung. Apabila tiba harinya saya tidak dapat naik bas sebab ternyata yang saya beli adalah tiket palsu.
Pernah juga saya dihalang masuk Stadium Merdeka untuk perlawanan akhir Pesta Bola Merdeka, sebab ‘ulat’ menipu saya dengan tiket palsu.
Satu hari ketua pemberita meminta saya menemu ramah seorang janda muda yang mendakwa telah dua kali diperkosa ketika mendapatkan rawatan menghalau jin dalam tubuh. Dia menjadi mangsa bomoh palsu.
Saya juga pernah membuat tugasan dan menulis berita mengenai doktor palsu, polis palsu, ejen hartanah palsu, sijil nikah palsu, logo ‘Halal’ palsu, hatta mak andam yang dikatakan boleh membuat selaput dara palsu.
Gelaran dan anugerah tertentu, termasuk Datuk, Datuk Seri juga dipalsukan. Ada yang meletakkan gelaran-gelaran tersebut pada nama mereka, siapa yang berani tanya.
Malah di tempat kita ada orang yang begitu berani dan nekad, sehingga akhirnya ditangkap dan dibicarakan kerana menjadi sultan palsu.
Sebagai pengamal media, saya selalu berhati-hati sebab setiap saat ada sahaja berita palsu!
Hari ini, semakin pandai manusia dan semakin canggih kehidupan, semakin banyak yang dipalsukan. Kalau tidak berhati-hati apa sahaja boleh dipalsukan, dan kita menjadi mangsa.
Telah diketahui umum sekarang, cinta palsu yang zaman saya sekolah dulu memangsakan orang seperti Man Terompah, kini menjadi bisnes yang menguntungkan di internet.
Seperti yang dilaporkan media, beribu-ribu mangsa – sebahagian besarnya wanita – telah kerugian RM berjuta-juta akibat terpedaya dengan pujukan jejaka yang menawarkan cinta palsu di alam maya.
Beribu-ribu lagi, termasuk golongan intelek dan profesional, telah kerugian RM bilion akibat ditipu oleh skim pelaburan palsu di atas talian.
Sehari dua ini akhbar melaporkan perihal sekumpulan mereka yang hendak bercuti dan melancong ke luar negara, terkandas di lapangan terbang, gara-gara ejen pelancongan tidak muncul. Ini kes ejen palsu.
Telah kerap kali pula kita mendengar rombongan jemaah haji dan umrah terkandas di lapangan terbang, berhari-hari, gara-gara penipuan ejen haji palsu. Urusan ke Tanah Suci pun dipalsukan!
Walaupun dilarang agama, sebahagian kita telah menerima, malah berbangga dengan pembedahan plastik yang menjelmakan hidung palsu, pipi palsu, bibir palsu, payudara palsu, serba-serbi palsu.
Hatta, sehari dua ini kita juga telah menerima dan mengiktiraf menteri dengan ijazah palsu. Pendek kata kepalsuan ada di mana-mana, bila-bila masa!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!