Vaksin Covid-19: MATA gesa kerajaan libatkan hospital, klinik swasta

Kenyataan akhbar oleh MATA pada Sabtu.
Kenyataan akhbar oleh MATA pada Sabtu.
A
A
A

SHAH ALAM - Kerajaan digesa supaya melibatkan hospital dan klinik swasta yang diiktiraf Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk bersama-sama dalam pelaksanaan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan.

Presiden Persatuan Agensi Pelancongan Malaysia (MATA), Datuk Mohd Khalid Harun berkata, langkah tersebut diyakini dapat mempercepatkan program lagi usaha pemberian vaksin kepada rakyat Malaysia.

Beliau berkata, ia turut membantu kerajaan untuk menjimatkan kos pemberian vaksin Covid-19.

“Dengan membenarkan hospital swasta melaksanakan program imunisasi, ini dapat mempercepatkan lagi program imunisasi negara, sekali gus dapat melindungi rakyat Malaysia dengan lebih pantas tanpa menunggu giliran yang lama.

“MATA percaya, bagi rakyat Malaysia yang mampu, mereka akan memilih hospital swasta untuk program imunisasi mereka, sekali gus kerajaan Malaysia dapat menjimat kos pembayaran vaksin Covid-19,” katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Pada Sabtu, Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Ahmad Amzad Hashim berkata, kerajaan masih meneliti cadangan yang meminta supaya pihak swasta mengendalikan sendiri suntikan vaksin Covid-19 bagi mencapai imuniti kelompok dengan lebih pantas.

Ahmad Amzad berkata, buat masa ini, kerajaan masih belum mempunyai dasar yang membolehkan mana-mana pihak swasta atau korporat mengendalikan proses vaksinasi Covid-19 sendiri.

ARTIKEL BERKAITAN: Cadangan pihak swasta kendali sendiri suntikan vaksin diteliti

Artikel Berkaitan:

NGO, hospital swasta mahu beli sendiri vaksin Covid-19

Sementara itu, Mohd Khalid berkata, langkah mempercepatkan pemberian vaksin itu juga diyakini dapat memastikan usaha untuk memulihkan ekonomi negara khususnya bagi sektor pelancongan dengan lebih pantas.

“MATA yakin dengan mempercepatkan program imunisasi negara, industri penerbangan, agensi pelancongan, hotel, restoran, taman tema, syarikat pertukaran mata wang, kedai cenderahati serta sektor bersangkutan dengan pelancongan akan mendapat manfaat dan kembali beroperasi seperti biasa.

“MATA juga yakin semua pemain industri pelancongan akan bersetuju dengan gesaan ini,” katanya.

Pada masa sama, Mohd Khalid berkata, MATA turut meminta kerajaan supaya mengkaji semula pelaksanaan halangan rentas negeri bagi menggalakkan semula industri pelancongan domestik negara.

“Ahli kami yang berada di pulau-pulau peranginan seperti di Pulau Langkawi, Pulau Redang, Pulau Tioman dan pulau peranginan yang lain hanya bergantung sepenuhnya melalui pelancong domestik terutama dari Lembah Klang.

“Buat masa ini mereka tidak mempunyai sebarang pendapatan yang dapat membantu mereka dalam mendepani kelangsungan hidup,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!