Tangan panas, sesak nafas lepas sentuh obor-obor beracun

Tangkap layar status dimuat naik seorang pengguna media sosial Facebook mengenai insiden terkena obor-obor beracun yang dilihat mirip kepada spesies portuguese man o' war.
Tangkap layar status dimuat naik seorang pengguna media sosial Facebook mengenai insiden terkena obor-obor beracun yang dilihat mirip kepada spesies portuguese man o' war.
A
A
A

SETIU - Seorang kanak-kanak mengalami sesak nafas dan sakit pada bahagian dada selepas tersentuh obor-obor beracun dipercayai daripada spesies 'portuguese man o' war' ketika sedang mencari remis di Pantai Mangkuk, di sini pada Jumaat.

Ibu saudaranya, Ain Farahana Mohd Rudin, 26, berkata, kejadian jam 6 petang itu berlaku dalam tempoh singkat sebelum anak saudaranya yang berusia enam tahun itu dikejarkan ke Hospital Setiu.

"Ketika asyik mencari remis, anak saudara saya ternampak sesuatu seakan plastik bewarna biru lalu menyentuhnya.

"Belum sempat dia pegang dan angkat benda itu saya terdengar dia menjerit sakit dan panas sambil menunjukkan bahagian tangannya. Selepas lima minit pula dia macam sesak nafas dan beritahu sakit bahagian dada," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Sabtu.

Ain Farahana berkata, beliau dan suami bergegas membawa anak saudaranya itu ke bahagian kecemasan Hospital Setiu sebelum dimasukkan ke wad.

"Mujurlah selepas setengah jam dimasukkan ubat, keadaan dia beransur pulih namun doktor maklumkan dia perlu dipantau kerana tekanan darah agak tinggi berbanding biasa.

"Selepas sehari dirawat di hospital, dia dibenarkan keluar wad jam 1 petang hari ini," katanya yang tinggal di Bandar Permaisuri Setiu.

Menurut Ain Farahana, beliau berasa serik untuk membawa anak-anaknya termasuk anak saudaranya ke pantai kerana bimbang kejadian sama berulang.

Artikel Berkaitan:

"Kebetulan petang Jumaat saya cuti dan bawa anak saya bersama anak saudara ke pantai untuk ambil angin sambil cari remis. Tak sangka pula kejadian ini boleh berlaku kerana saya sentiasa memantau mereka sepanjang masa di pantai.

"Saya bertanggungjawab penuh terhadap keselamatan anak saudara kerana saya yang ajak dia ke pantai. Sebab itulah saya rasa serik dah nak ke pantai selepas kejadian itu," katanya.

Sementara itu, Pengarah Perikanan Terengganu, Zawawi Ali berkata, orang ramai diminta lebih berwaspada dengan kemunculan semula obor-obor beracun di perairan Terengganu.

Seekor obor-obor beracun daripada spesies velella yang ditemui di Pantai Teluk Ketapang, Kuala Nerus. - Foto Ihsan pembaca
Seekor obor-obor beracun daripada spesies velella yang ditemui di Pantai Teluk Ketapang, Kuala Nerus. - Foto Ihsan pembaca

Katanya, hidupan laut yang pernah muncul di pantai Terengganu tahun lalu mempunyai ribuan sel penyengat berbisa yang mampu mengakibatkan kesakitan luar biasa jika terkena pada kulit.

"Hidupan ini sudah biasa ditemui nelayan tempatan yang turun ke laut. Mungkin ia baharu sampai ke pesisir pantai. Tahun lalu ia banyak terdampar di pantai sebelah Marang.

"Ia termasuk dalam spesies hidupan merbahaya dan jika terkena pada kulit tiada ubat. Biasanya pesakit akan diberikan rawatan ubat penahan sakit bagi membantu melegakan simptom," katanya.

Dalam perkembangan berasingan, tular di media sosial penemuan beberapa ekor obor-obor beracun daripada kategori 'velella' ditemui terdampar di Pantai Teluk Ketapang di Kuala Nerus pada Sabtu.

Zawawi berkata, walaupun spesies 'velella' agak tidak berbahaya, orang ramai dinasihatkan untuk tidak sesekali menyentuh hidupan berkenaan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!