MP UMNO sertai Bersatu: Itu 'game' lama, pelakon lama!
SUNGAI PETANI – Permainan lama yang dimainkan oleh pelakon lama. Itu yang digambarkan Pengerusi UMNO Kedah, Datuk Seri Jamil Khir Baharom terhadap tindakan tujuh Ahli Parlimen yang kini menyertai Bersatu.
Antaranya ialah Datuk Seri Hamzah Zainudin (Larut), Datuk Rosol Wahid (Hulu Terengganu), Datuk Dr Abdul Latiff Ahmad (Mersing), Datuk Shabudin Yahaya (Tasik Gelugor), Datuk Mohamad Fasiah Mohd Fakeh (Sabak Bernam), Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz (Tanah Merah) dan Datuk Mas Ermiyantie (Masjid Tanah).
Menurut Jamil, tindakan melompat parti menjadi lumrah setiap kali PRK atau PRU.
“Buat kali ini, beberapa Ahli Parlimen yang sememangnya sudah berada dalam senarai simpanan setelah mengistiharkan diri menjadi bebas dengan keluar UMNO mengumumkan masuk Bersatu,” katanya.
Katanya, PRK Semenyih semakin hampir menghampiri saat dan ketika ini, menunjukkan PH dan Bersatu sudah pasti merasai tekanan yang membahang terutama sekali apabila PRK kali ini bakal diwakili Parti Bunga.
“Proses penamaan calon PRK Semenyih diumumkan pada 16 Februari 2019 manakala hari pengundian jatuh pada 2 Mac nanti.
“Sesudah PH kecundang di Cameron Hinghlands, rentak sokongan rakyat semakin jelas menolak PH yang gagal mengotakan janji manifesto ditokok tambah masalah ekonomi negara dan kos sara hidup semakin bercelaru tanpa penyelesaian.
“Di samping isu yang panas sekarang yang sedang menghimpit ialah pemalsuan sijil Ahli Parlimen termasuk membabitkan barisan menteri dan timbalan menteri.
“Semua isu ini cuba dipesongkan pemusatan fokus rakyat dengan pengumuman kemasukan Ahli Parlimen Bebas yang dahulu bekas ahli UMNO ke Bersatu,” katanya.
Menurut beliau, walau apapun taktik yang dibuat, ianya tidak mampu memesongkan kebencian rakyat yang ditipu harga diri dengan janji palsu kerajaan Harapan.
“Ini seolah-olah 'game lama pelakon pun lama', menambah lagi kekalutan PH di Semenyih,” jelasnya.
Terdahulu, Pengerusi Bersatu, Tun Dr Mahathir Mohamad mengumumkan tujuh bekas Ahli Parlimen UMNO diterima masuk Bersatu, semalam.
Mereka menerima kad keahlian Bersatu yang disampaikan pada sidang media di Yayasan Kepimpinan Perdana, Putrajaya.
Disember lalu, enam daripadanya telah mengumumkan keluar daripada UMNO.
Manakala Bekas Ketua Puteri UMNO, Mas Ermiyantie telah mengumumkan keluar dari parti itu pada Julai 2018.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!