Biasiswa ISMP singkir Bahasa Tamil
PERMOHONAN Biasiswa Ijazah Sarjana Muda Pendidikan (ISMP) bagi tahun 2021 sudah dibuka secara dalam talian mulai 1 hingga 31 Mac ini.
Tawaran biasiswa di bawah kelolaan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) itu ditawarkan kepada pelajar yang sedang mengikuti pengajian pendidikan tahun pertama atau kedua dalam bidang ditetapkan di universiti awam.
Kolum lidah pengarang Makkal Osai melaporkan bahawa baru-baru ini pengumuman iklan biasiswa ISMP telah mencetus kejutan apabila Bahasa Tamil tidak tersenarai dalam pilihan bidang-bidang pendidikan yang layak dimohon oleh pelajar.
Biasiswa ISMP yang diberikan sejak tahun 2012 menyenaraikan 28 bidang pendidikan, antaranya Bahasa Inggeris, Melayu, Cina, Iban, Kadazan, Dusun dan sebagainya. Malangnya, Bahasa Tamil tiada dalam senarai itu.
Menurut Makkal Osai, penyingkiran Bahasa Tamil daripada Biasiswa ISMP itu telah mengundang perasaan kurang adil dalam kalangan pelajar dan masyarakat India.
KPM dituntut memberi penjelasan terperinci tentang tindakan tersebut yang disifatkan sebagai memulaukan peluang dan hak pendidikan peIajar India di Malaysia.
Akhbar harian itu menjelaskan bahawa pelajar mengikuti pengajian ISMP di universiti awam terutama Bahasa Tamil bakal memikul tanggungjawab sebagai pendidik bahasa ibunda tersebut di sekolah menengah.
Kesemua mahasiswa itu kebiasaannya akan ditanggungjawabkan untuk mengajar subjek Bahasa Tamil dan Kesusasteraan Bahasa Tamil.
Realitinya, pihak pengurusan sekolah menengah dikatakan sedang mengalami masalah kekurangan guru untuk mengajar Bahasa Tamil dan Kesusasteraan Bahasa Tamil untuk pelajar Tingkatan Satu hingga Lima dan Tingkatan Enam. Namun, KPM pula menyatakan jumlah guru untuk mengajar subjek berkenaan mencukupi.
Kira-kira 800 hingga 900 guru Bahasa Tamil terlatih telah ditempatkan di sekolah menengah seluruh negara. Justeru, KPM berkata, pihaknya tiada hasrat menambah lagi bilangan guru dan memberi tawaran biasiswa bagi bidang pendidikan tersebut.
Pemberhentian tawaran Biasiswa ISMP amat merugikan pelajar India yang mengikuti bidang pendidikan Bahasa Tamil di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dan Jabatan Pengajian India serta Fakulti Bahasa dan Lingustik di Universiti Malaya (UM). Bukan itu sahaja, keputusan KPM untuk memberhentikan tawaran biasiswa ISMP turut menjejaskan masa depan kira-kira 200 orang mahasiswa India.
Makkal Osai mengesyorkan bahawa keputusan pihak KPM memberhentikan tawaran Biasiswa ISMP hanya dapat diselesaikan apabila permin-taan untuk guru-guru Bahasa Tamil di sekolah menengah kembali meningkat kelak.
Kekurangan permintaan itu yang menyebabkan peluang dan masa depan bakal guru Bahasa Tamil dirampas dan KPM tiada keinginan menggandakan jumlah tersebut.
Oleh sebab itu, masyarakat India terutama ibu bapa perlu menyedari realiti itu dan mengambil inisiatif memartabatkan Bahasa Tamil serta menghantar anak mereka ke sekolah Tamil, selain menggalakkan mengambil pendidikan Tamil pada peringkat sekolah menengah dan universiti awam.
Sementara itu, pelajar India juga harus menunjukkan minat untuk mempelajari Bahasa Tamil dan mengambil subjek berkenaan dalam peperiksaan utama mereka.
Segala perubahan dan keputusan terletak di bahu masyarakat India untuk mengangkat permintaan terhadap pendidikan Bahasa Tamil supaya KPM kembali menawarkan Biasiswa ISMP kepada pelajar India.
Bahasa Tamil tidak tersenarai dalam pilihan bidang-bidang pendidikan yang layak dimohon oleh pelajar.
* Jagatheswary Narayanan ialah penulis bebas di Johor
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!