19 PATI Indonesia dicekup cuba masuk negara
KUALA SELANGOR - Pasukan Gerakan Am (PGA) menahan 19 pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Indonesia di Pantai Sungai Burung, Tanjung Karang, di sini yang cuba memasuki negara pada Sabtu.
Pegawai Pemerintah Batalion 4, Superintendan Rizal Mohamed berkata, kesemua PATI berusia 23 hingga 49 tahun itu terdiri daripada lapan lelaki dan 11 wanita.
Menurutnya, mereka ditahan dalam operasi bermula jam 7.30 pagi oleh sepasukan anggota polis dari Batalion 4 PGA Semenyih.
"Mereka dipercayai masuk ke dalam negara melalui jalan laut dengan menaiki bot dari Tanjung Balai, Indonesia sebelum mendarat di pesisir pantai Kampung Sungai Burung, Tanjung Karang," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.
Beliau berkata, kesemua tangkapan dibawa ke Balai Polis Tanjung Karang untuk tindakan di bawah Akta Imigresen 1959/63.
Katanya, PATI terbabit juga akan menjalani saringan Covid-19 bagi mencegah penularan wabak itu dalam kalangan pesalah dan petugas polis.
Tegasnya, pihaknya menyeru masyarakat memberi kerjasama dan menyalurkan maklumat berkaitan sebarang aktiviti yang menyalahi undang-undang.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!