Kerja baik pulih kabel Jambatan Pulau Pinang dijangka siap seminggu awal
GEORGETOWN - Kerja membaik pulih kabel elektrik yang terbakar di bawah Jambatan Pulau Pinang dijangka siap seminggu lebih awal berbanding jangkaan tempoh 118 hari sebelum ini.
Ketua Pegawai Grid Tenaga Nasional Berhad (TNB), Datuk Husaini Husin berkata, tempoh itu dipendekkan kerana kerja menanggalkan struktur sokongan kabel serta kabel yang rosak telah disiapkan dalam tempoh empat hari sahaja dan selesai pada Ahad.
Menurutnya, susulan itu, ia membolehkan pihak PLUS Malaysia Berhad (PLUS) menyegerakan siasatan terhadap keadaan struktur dan kerja-kerja baik pulih jambatan yang dijangkakan mengambil masa dua bulan mulai Isnin.
“Berdasarkan jadual terkini, tempoh kerja pembaikan oleh TNB dan PLUS adalah 112 hari sahaja. Kerja-kerja baik pulih kabel 132 kilo volt (kV) yang terbakar di Kilometer 3.2 Jambatan Pulau Pinang merangkumi penggantian tiga litar kabel yang musnah terbakar dengan kabel baru sepanjang kira-kira 100 meter," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.
Tambahnya, pihaknya juga menjalankan kerja merentang kabel, penyambungan kabel (cable jointing) dan penggantian struktur sesalur kabel (wooden platform) yang musnah terbakar dalam kejadian 22 Februari lalu.
“Kaedah perlaksanaan kerja oleh TNB tidak mengganggu aliran trafik Jambatan Pulau Pinang. Akses kerja adalah melalui laut dan menggunakan barge daripada mula sehingga akhir iaitu pada 23 Jun nanti," katanya.
Mengulas mengenai punca kebakaran, Husaini berkata, merujuk kepada laporan Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Malaysia Pulau Pinang, kejadian berlaku apabila arka elektrik (electrical arc) pada kabel di KM3.2 dan terkena kayu pelantar menyebabkan pemanasan setempat.
"Akibat daripada itu, ia menyebabkan berlakunya kebakaran. Merujuk kepada laporan JBPM, punca kejadian kebakaran bukan secara semula jadi atau khianat.
"Bagaimanapun, siasatan sedang dijalankan bagi mengesahkan faktor yang menyebabkan pancaran pada arka tersebut," katanya.
Dalam kejadian pada jam 4 petang Isnin dua minggu lalu, kebakaran di Kilometer 3.2 Jambatan Pulau Pinang melibatkan kabel 132kV dari Pencawang Masuk Utama (PMU) Bukit Tengah ke Bayan Mutiara menyebabkan keadaan trafik di atas jambatan tersebut sesak.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!