Gesa fokus kepada agenda pemerkasaan penyatuan ummah
SHAH ALAM - Pemuda Pas menggesa semua pihak menolak mana-mana individu yang bercita-cita mahu memberi talian hayat kepada Pakatan Harapan (PH) dengan membentuk penjajaran baharu politik bersama DAP dan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Ketuanya, Senator Ir Khairil Nizam Khirudin berkata, pihaknya tidak mahu peristiwa hitam politik negara selama 22 bulan di bawah pemerintahan kerajaan PH berulang lagi.
“Pemuda Pas menggesa kepada semua pihak sama ada pemimpin, ahli dan jentera parti serta rakyat yang cintakan perpaduan untuk terus fokus kepada agenda pemerkasaan penyatuan ummah di negara kita mengikut kapasiti masing-masing,” katanya menerusi hantaran di Facebook beliau pada Ahad.
Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan sebelum ini menyatakan parti itu akan terus memperkasa Muafakat Nasional (MN) dan mempertahan Perikatan Nasional (PN) di semua peringkat bagi meneruskan agenda memperkukuh perpaduan ummah yang menjadi asas kerjasama parti itu.
Mengulas lanjut, Khairil Nizam berkata, parti itu terus komited untuk memfokuskan kepada perjuangan sedia ada iaitu memperkukuh agenda penyatuan ummah.
“Pas tidak terkesan serta melayan politik ugutan yang digunakan sesetengah pihak demi kepentingan peribadi mereka dan membelakangkan kepentingan agenda penyatuan ummah.
“Pas yakin bahawa lebih ramai pemimpin Melayu Islam yang bercita-cita untuk menjayakan agenda penyatuan ummah ini berbanding dengan mereka yang ingin menggagalkannya,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!