TNB jangka raih pendapatan lebih baik tahun ini
KUALA NERANG - Tenaga Nasional Bhd (TNB) menjangka mampu memperoleh pendapatan yang lebih baik pada tahun ini berbanding tahun lepas walaupun negara masih berdepan dengan situasi penularan pandemik Covid-19.
Pengerusinya, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, tahun lepas pendapatan TNB mengalami penyusutan berbanding 2019 antaranya disebabkan oleh penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang pertama.
“Penggunaan elektrik rendah pada bulan April, Mei dan Jun tahun lalu semasa pelaksanaan PKP, banyak sektor ekonomi tidak beroperasi, semua kedai, hotel dan kilang perlu ditutup berikutan pandemik Covid-19.
“Bila semuanya ditutup, tidak ada penggunaan elektrik di premis-premis, yang ada cuma di rumah kerana masa itu semua orang perlu duduk di rumah dan ini telah memberi kesan kepada pendapatan TNB,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan sumbangan sempena Program Ceria Ke Sekolah TNB di sini pada Ahad.
Mahdzir berkata, walaupun pendapatan TNB secara keseluruhan merosot tahun lepas, namun syarikat itu terus komited menjalankan tanggungjawab sosial korporat (CSR) bagi membantu golongan yang memerlukan.
“Hari ini, lebih kurang 4,000 pelajar di Kedah menerima sumbangan menerusi program ini yang mana setiap pelajar akan menerima RM100,” katanya.
Katanya, TNB memperuntukkan sebanyak RM3 juta bagi melaksanakan program CSR di seluruh negara pada tahun ini. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!