Muhammad Faiz nafi sebar inti pati mesyuarat MPT Bersatu

Dr Muhammad Faiz memberikan keterangan di IPD Kajang pada Ahad. Kandungan intipati mesyuarat MPT Bersatu yang dikatakan palsu tersebar di media sosial.
Dr Muhammad Faiz memberikan keterangan di IPD Kajang pada Ahad. Kandungan intipati mesyuarat MPT Bersatu yang dikatakan palsu tersebar di media sosial.
A
A
A

KAJANG - Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Dr Muhammad Faiz Na'aman menafikan beliau merupakan dalang penyebaran maklumat inti pati Mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu yang tersebar sejak Jumaat.

Ia susulan laporan polis dibuat oleh Setiausaha Kerja Bersatu, Kapten (B) Muhammad Suhaimi Yahya di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul pada Sabtu.

Dr Muhammad Faiz memaklumkan beliau hadir ke IPD Kajang kira-kira jam 12 tengah hari pada hari sama bagi memberi keterangan dan membantu siasatan kes berkenaan.

"Pada Jumaat sekitar jam 4.30 petang, saya terbaca mesej tersebut sebelum berkongsi di grup WhatsApp MPT Bersatu.

"Saya bukan orang pertama yang menyebarkan mesej tersebut kerana sebelumnya sudah ada beberapa individu berkongsi mesej sama.

"Saya panjangkan mesej tersebut supaya pimpinan tertinggi maklum berhubung penyebaran mesej tersebut dan mengambil tindakan perlu," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Ahad.

Sabtu lalu, Bersatu menafikan kesahihan maklumat berhubung inti pati Mesyuarat MPT Bersatu bertarikh 4 Mac 2021 yang disebarkan melalui aplikasi WhatsApp dan Facebook.

Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainuddin berkata, semua maklumat dalam sebaran tersebut adalah palsu dan tidak mempunyai kaitan sama sekali terhadap mana-mana mesyuarat MPT.

Artikel Berkaitan:

Maklumat didakwa berkaitan Mesyuarat MPT Bersatu untuk ketua bahagian parti itu tersebar di media sosial yang antaranya menyatakan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin meminta ahli parti bersiap sedia menghadapi pilihan raya umum pada Julai depan.

Sebaran maklumat itu turut memetik Datuk Seri Azmin Ali memohon parti melantik beliau sebagai Timbalan Perdana Menteri dan memaklumkan lapan lagi ahli Parlimen akan melompat menyokong Perikatan Nasional (PN).

Dalam sebaran sama turut menyebut dakwaan lebih keras dalam kes mahkamah Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi boleh digunakan sebagai rundingan agar UMNO kekal bersama Bersatu pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!