Thailand gantung lesen stesen TV dikaitkan dengan Thaksin
BANGKOK - THAILAND. Pengendali telekomunikasi Thailand, semalam menggantung lesen operasi saluran televisyen yang mempunyai kaitan dengan bekas perdana menteri digulingkan, Thaksin Shinawatra menjelang Pilihan Raya Umum pada 24 Mac depan.
Suruhanjaya Telekomunikasi dan Penyiaran Negara (NBTC) memaklumkan dua program di Voice TV, Tonight Thailand dan Wake Up News didakwa menyampaikan maklumat yang mengelirukan dan perpecahan awam.
"Voice TV diarahkan untuk memperbaiki kandungan mereka sepanjang tempoh penggantungan selama 15 hari itu," kata salah seorang pesuruhjayanya, Perapong Manakit.
Difahamkan, langkah itu dibuat selepas ia menyiarkan wawancara bersama dua calon perdana menteri dari parti Pheu Thai yang dipimpin Thaksin.
Voice TV dimiliki dua anak Thaksin yang digulingkan oleh rampasan kuasa pada 2006 dan hidup dalam buangan sejak 2008. - Reuters
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!