Apa cerita kempen jangan guna straw?
KUALA LUMPUR - Straw besi, straw buluh, straw serai dan straw kertas, ini antara jenis penyedut minuman yang pernah muncul dua tahun lepas sebaik kerajaan melaksanakan kempen ‘Tak Nak Straw Plastik’ dalam usaha untuk mengurang pencemaran dan memelihara alam sekitar.
Straw berkenaan menjadi trend ketika itu apabila kebanyakan premis menjual makanan termasuk restoran makanan segera dan kafe di hotel-hotel tidak lagi menyediakan penyedut minuman plastik bagi menyambut seruan kerajaan yang turut giat melakukan ‘Kempen Hindari Plastik Sekali Guna’.
Kedua-dua kempen itu selaras dengan Pelan Hala Tuju Malaysia Ke Arah Sifar Penggunaan Plastik Sekali Guna 2018-2030 yang diluluskan jemaah menteri pada 10 Oktober 2018 bagi mengurangkan sisa plastik dalam negara termasuk penggunaan penyedut minuman plastik.
Namun setelah dua tahun berlalu, kempen ‘Tak Nak Straw Plastik Plastik’ kini semakin dipandang sepi dan tidak keterlaluan boleh dianggap seperti hanya bermusim apabila kebanyakan restoran ketika ini kembali menggunakan penyedut minuman plastik dan hanya segelintir yang kekal menyediakan straw kertas untuk pelanggan.
Hal tersebut diakui oleh Pensyarah Kanan Fakulti Alam Sekitar Universiti Putra Malaysia, Dr Mohd Yusoff Ishak yang menyifatkan kesedaran orang ramai tentang kempen itu semakin berkurangan dan perlu diberi ‘nafas baharu’ bagi memastikan masyarakat tidak alpa tentang kesan buruk plastik kepada alam sekitar.
"Semasa kempen ini mula dilancarkan dahulu, ramai yang mengambil bahagian, malah pengusaha kedai-kedai makan pun hanya memberi penyedut minuman atas permintaan pelanggan.
“Namun apabila berlaku perubahan kementerian, kempen untuk mengurangkan plastik pakai buang ini semakin tenggelam dan semakin dilupakan, jadi sudah tiba masanya kempen diperhebatkan semula," katanya kepada Bernama baru-baru ini.
Beliau turut mencadangkan agar Pelan Hala Tuju Malaysia Ke Arah Sifar Penggunaan Plastik Sekali Guna 2018-2030 dilihat kembali dan diteruskan dengan meletakkan tanggungjawab itu kepada agensi berkaitan berbanding di bawah kementerian bertanggungjawab agar pelaksanaannya konsisten apabila berlaku pertukaran portfolio.
Agensi terlibat juga perlu diberi bidang kuasa lebih luas bagi membolehkan penguatkuasaan undang-undang dilakukan dari aspek penjanaan sisa pepejal sehinggalah ke tapak pelupusan.
Pada masa yang sama, katanya, pelan itu wajar dihidupkan kembali kerana telah banyak belanja dikeluarkan dan usaha dicurahkan termasuk dalam kalangan pakar bagi merancangnya sehingga untuk tempoh 2030.
Sebelum ini, Kementerian Wilayah Persekutuan turut melaksanakan penguatkuasaan larangan penggunaan straw minuman plastik kepada peniaga dan pengusaha kedai makan dan menjadi sebahagian daripada syarat-syarat lesen perniagaan mulai 1 Januari 2019.
Sementara itu, Presiden Pertubuhan Pelindung Khazanah Alam Malaysia (Peka) Puan Sri Shariffa Sabrina Syed Akil pula mencadangkan agar penguatkuasaan larangan penghasilan dan penjualan straw daripada plastik konvensional diperkenalkan.
"Kita kena mula dari asas, kalau nak larang penggunaan straw plastik (konvensional), jangan (benarkan) jual lagi, maknanya kedai-kedai plastik tak boleh jual straw (plastik konvensional).
“Kempen melarang penggunaan straw daripada plastik yang pernah dilaksanakan dulu boleh dianggap tidak berjaya dan kalau kita lihat sekarang, lebih 70 kedai makan dan restoran masih menggunakan straw daripada plastik konvensional," katanya.
Shariffa Sabrina berkata, peniaga tidak boleh bersifat mementingkan keuntungan semata-mata sebaliknya perlu mempunyai sifat tanggungjawab untuk sama-sama memainkan peranan memelihara alam sekitar.
Sambil mengambil contoh amalan rutin kebiasaan baharu yang diamalkan ketika pandemik ketika ini, Shariffa Sabrina berkata, perkara yang sama boleh dilaksanakan terhadap kempen ‘Tak Nak Straw Plastik’ sekiranya kerajaan melakukan kempen dan penguatkuasaan berterusan.
"Kalau kerajaan berjaya menyuruh masyarakat memakai pakai pelitup muka melalui kempen dan penguatkuasaan, apa salahnya kerajaan melakukan perkara yang sama terhadap kempen ini," katanya.
Sementara itu, orang ramai yang ditemui mahukan kempen ‘Tak Nak Straw Plastik’ digiatkan kembali dengan pelanggan tidak seharusnya diberi pilihan untuk meminta penyedut minuman apabila memesan minuman.
Bagi Ahmad Aiman Muhammad Fadhil, 32, pengusaha kedai makanan pula perlu menyediakan cawan dengan reka bentuk bersesuaian bagi memudahkan pelanggan minum terutama apabila dibawa pulang.
"Apabila tiada pilihan, pelanggan tetap akan boleh menikmati minuman tanpa straw, sama seperti di rumah dan bagi mereka yang tidak yakin dengan kebersihan dan tetap mahukan straw, pelanggan perlulah membawa penyedut minuman sendiri," katanya.
Eric Ong, 21, pula berpandangan membawa penyedut minuman yang boleh diguna semula seperti yang diperbuat daripada besi perlu menjadi satu normal baharu dalam masyarakat walaupun sesetengah pihak menganggap ia satu perkara leceh.
"Sekarang dah banyak dijual penyedut minuman yang bersaiz kompak dan senang bawa. Masyarakat kita mudah terpengaruh dengan perkara yang ditularkan di media sosial terutama golongan muda.
“Kalau kempen diperhebatkan, saya yakin ia akan kembali menjadi trend,” katanya. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!