Kedai emas jadi tumpuan, jumlah pelanggan luar biasa

Orang ramai mengambil peluang membeli emas ketika harganya turun beberapa hari lalu.
Orang ramai mengambil peluang membeli emas ketika harganya turun beberapa hari lalu.
A
A
A

TEMERLOH - Keterujaan orang ramai kini membeli emas menyebabkan beberapa premis menjual perhiasan tersebut dibuka pada hari minggu.

Tinjauan Sinar Harian mendapati kedai emas dibuka pada Ahad dan harga jualan ialah RM225 pergram menyebabkan pelanggan tidak melepaskan peluang membelinya.

Ditambah faktor kemasukan wang i-Sinar kepada pencarum menjadikan premis tersebut turut menjadi tumpuan buat mereka yang ingin membuat pelaburan jangka panjang.

Bagi penerokawati dari Felda Jengka 18, Kamariah Hussin, 64, mengakui selain harga yang menurun, reka bentuk emas juga semakin menarik menyebabkan dia tidak melepaskan peluang untuk mendapatkan koleksi pilihan dan membeli gelang idaman.

"Lagipun emas merupakan pelaburan berbaloi dan rugi jika tidak membelinya.

"Emas adalah simpanan yang banyak membantu saya dan keluarga selama ini," katanya lagi.

Kamariah Hussin
Kamariah Hussin

Sementara itu, Rosmah Hassan, 46 turut mendapatkan koleksi idaman terutamanya reka bentuk yang popular dan tular masa kini.

Artikel Berkaitan:

"Saya rasa koleksi yang popular kini sangat menarik perhatian selain menjadi pelaburan jangka panjang," ujarnya.

Dalam pada itu, seorang pemilik kedai emas, Fadzrin Hafizi Mohd Sabri, 33, berkata, Sabtu adalah hari yang tidak cukup tangan melayan pelanggan.

Menurutnya, beliau terpaksa membuka premis kerana permintaan pelanggan.

Fadzrin Hafizi Mohd Sabri
Fadzrin Hafizi Mohd Sabri

"Semalam adalah hari yang luar biasa dengan jualan yang sangat memberangsangkan mungkin faktor wang i-Sinar sudah masuk.

"Memang diakui pelanggan tertarik dengan reka bentuk yang tular dan terkini selain harga emas yang turun," jelasnya.

Ujarnya, hasil jualan dalam beberapa minggu ini membuatkan beliau kembali bernafas selepas jualan menurun hingga 90 peratus selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan pada Mac tahun lalu.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!