Gagal patuh Akta 446: JTK buka tujuh kertas siasatan
PENDANG - Jabatan Tenaga Kerja (JTK) Kedah telah membuka tujuh kertas siasatan terhadap syarikat berkaitan di negeri ini atas kegagalan mematuhi Akta Standard Minimum Perumahan, Penginapan dan Kemudahan Pekerja 1990 (Akta 446).
Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Awang Hashim berkata, jabatan berkenaan mendapat izin untuk tindakan pendakwaan di bawah Seksyen 24D, Seksyen 24J dan Peraturan 3 (3) Akta 446 terhadap syarikat berkenaan.
"Sehingga 4 Mac lalu, Pasukan Kerja Pematuhan Penginapan Pekerja Akta 446 telah melakukan Ops Taskforce Covid-19 ke atas 462 majikan dan 865 tempat penginapan di seluruh Kedah.
"Melalui operasi itu, kita mengesan beberapa kesalahan seperti majikan gagal mendapatkan perakuan penginapan dan belum membuat sebarang permohonan untuk mendapatkan perakuan itu," katanya selepas Program Suntikan Vaksin Covid-19 di Dewan Cenderawasih di sini pada Ahad.
Turut hadir ialah Exco Kesihatan Kedah, Datuk Dr Hayati Othman dan Pengarah JTK Kedah, Arzanil Bahadur.
Awang berkata, antara kesalahan lain yang dilakukan syarikat berkenaan ialah ruang penginapan sesak, keadaan persekitaran kotor, tiada pengudaraan selesa dan kemudahan penginapan tidak mengikut spesifikasi ditetapkan.
Menurutnya, majikan terbabit akan diambil tindakan undang-undang yang tegas di bawah akta berkaitan dalam usaha memastikan usaha kerajaan membendung penularan Covid-10.
"Di bawah Ordinan Darurat (Standard Minimum Perumahan, Penginapan dan Kemudahan Pekerja)(Pindaan) 2001, mereka yang melakukan kesalahan boleh didenda maksimum iaitu sebanyak RM200,000 atau tiga tahun penjara atau kedua-dua sekali," katanya.
Dalam perkembangan sama, beliau berkata, sebanyak 27 majikan membabitkan 97 unit penginapan pekerja dengan kapasiti 1,500 pekerja telah diberi kelulusan perakuan penginapan pekerja dari JTK Kedah setakat ini.
Sehubungan itu, beliau berkata, semua majikan yang belum membuat permohonan perakuan penginapan pekerja diminta untuk mengambil tindakan segera dan bersama-sama memutuskan rantaian Covid-19 dalam kalangan pekerja.
Menurutnya, JTK tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas ke atas mana-mana majikan yang masih ingkar untuk mematuhi akta tersebut.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!