Peniaga kedai emas di Terengganu peroleh rezeki berganda

Rani melayani pelanggan yang datang ke kedai emasnya.
Rani melayani pelanggan yang datang ke kedai emasnya.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Peniaga kedai emas di Terengganu mendapat rezeki berganda apabila premis perniagaan mereka kini menjadi lokasi pilihan orang ramai berbelanja susulan agihan wang i-Sinar yang bermula sejak beberapa hari lalu dan kebetulan harga emas sedang murah ketika ini di samping faktor pembukaan semula rentas daerah.

Difahamkan jumlah pelanggan yang sebelum ini hanya antara lima dan enam orang sehari meningkat kepada 50 hingga 60 orang sehari.

Pemilik kedai emas RN Gold & Diamond, Rani Endut, 55, berkata, kedai emas miliknya mula diserbu sejak seminggu yang lalu sebaik sahaja pergerakan rentas daerah dibenarkan.

"Pelanggan dari luar Kuala Terengganu ramai datang membeli emas, lebih-lebih lagi pada hujung minggu. Harga emas pula antara RM220 hingga RM225 se gram sekarang. Jadi, orang ramai ambil kesempatan untuk beli. Selain itu, ada juga yang datang cari barang kemas yang tiada upah.

"Pelanggan terdiri daripada pelbagai latar belakang, tapi rata-ratanya beli gelang dan rantai. Alhamdulillah, peniaga seperti saya boleh bernafas semula selepas lama tidak membuat jualan sebegini," katanya.

Pelanggan menunggu giliran untuk masuk ke kedai emas di Pasar Payang.
Pelanggan menunggu giliran untuk masuk ke kedai emas di Pasar Payang.

Sementara itu, Norizan Mohd Nor, 51, dari Batu Rakit berkata, dia memanfaatkan duit i-Sinar yang diperolehnya untuk menempah gelang 'pulut dakap' yang bernilai hampir RM5,000.

Katanya, harga emas yang murah membuatkan dia mengambil keputusan untuk membeli emas sebagai simpanan kecemasannya.

Artikel Berkaitan:

"Keadaan ekonomi masih belum stabil. Saya merasakan lebih baik saya gunakan duit yang ada untuk beli emas sebagai pelaburan.

"Kalau ada duit di tangan, takut beli benda bukan-bukan. Jadi, beli emas adalah pilihan terbaik bagi saya," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!