Wabak ASF menular ke daerah lain di Sabah
KOTA KINABALU - Virus Demam Babi Afrika (ASF) kini telah menular ke beberapa daerah lain dan bukan hanya menjangkiti babi peliharaan tetapi juga babi hutan liar.
Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Dr Jeffrey Kitingan berkata, virus itu dikesan di kalangan babi domestik di Kota Marudu dan Pitas serta babi hutan di Lahad Datu, Sandakan, Kinabatangan, Beluran dan Telupid.
"Ini termasuk kes kematian seekor babi hutan di sebuah resort di Kinabatangan yang tular di media sosial minggu lalu.
"Bagaimanapun, ladang babi komersial di Tawau, Sandakan, Tenom, Papar, Tuaran dan Penampang yang membekalkan produk babi di Sabah masih bebas daripada virus ASF," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.
Jeffrey yang juga Menteri Pertanian dan Perikanan berkata, kawasan-kawasan itu harus dipastikan bebas daripada ASF supaya pengeluaran daging babi tempatan tidak terjejas.
"Walaupun ASF tidak menjangkiti manusia, ia boleh mengganggu ekonomi serta kesejahteraan masyarakat.
"Oleh itu, amat penting bagi kita untuk mengawal serta membasmi penyakit ini," katanya.
Tambah beliau, kerajaan akan membuat pengisytiharan wabak ASF dengan segera jika ada daerah dikesan dijangkiti virus itu mengikut Enakmen Haiwan 2015.
"Kita juga akan menubuhkan Jawatankuasa Pengurusan Krisis Penyakit ASF yang dipengerusikan oleh Pengarah Jabatan Perkhidmatan Veterinar Sabah (JPVS).
"Jawatankuasa ini akan dianggotai oleh Jabatan Hidupan Liar (JHL) Sabah, pasukan keselamatan, wakil-wakil dari Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan, wakil dari Pejabat Peguam Besar Negeri dan agensi-agensi lain yang berkaitan.
"Jawatankuasa ini akan merangka dasar yang perlu bagi mengawal dan seterusnya membasmi ASF di Sabah dengan segera," katanya.
Menurut Jeffrey, setakat ini sebanyak 110 babi dari sembilan kampung di dalam zon jangkitan ASF telah dihapus dan dilupuskan.
Setakat Rabu lalu, sebanyak 347 jumlah sampel diambil dari pelbagai daerah bagi mengesan kehadiran virus ASF di seluruh Sabah.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!