Perak FC sekadar kutip 1 mata di laman sendiri
PERAK FC memulakan langkah aksi pertama Liga Super 2021 apabila sekadar mengutip satu mata apabila diikat PJ City FC di laman sendiri di Stadium Perak, di sini, pada Ahad.
Perlawanan pada babak pertama menyaksikan kedua-dua pasukan cuba mengatur gerak mencari beberapa peluang menerusi serangan ke kubu lawan masing-masing.
Peluang Perak FC singgah pada minit ke-12 menerusi sepakan percubaan oleh Careca di luar kotak penalti yang berjaya ditampan keluar penjaga gol PJ City FC, Kalamullah Al-Hafiz Mat Rowi.
Selang beberapa minit kemudian, PJ City FC mengasak kubu pertahanan tuan rumah namun berjaya disekat benteng yang diketuai Kapten Pasukan Perak FC, Shahrul Saad.
PJ City FC kemudian memperoleh peluang menerusi percubaan M Kogileswaran Raj namun sepakannya tersasar ke sebelah kanan gawang Perak FC.
Sementara itu, kad kuning pertama perlawanan dilayangkan oleh pengadil perlawanan, Razlan Jofri Ali ke atas pemain Perak FC, Amirul Azhan Aznan selepas mengasari pemain PJ City FC.
Perak FC kemudiannya mendapat peluang untuk menjaringkan gol namun percubaan J Partiban berjaya dihalang pemain pertahanan PJ City FC sekaligus menghadiahkan sepakan penjuru kepada pasukan tuan rumah.
Namun keampuhan benteng pertahanan Perak FC berjaya menyerap asakan anak buah P Maniam yang turun tanpa pemain import.
Babak pertama perlawanan menyaksikan kedua-dua pasukan buntu mencipta jaringan dengan PJ City FC dilihat lebih banyak menguasai perlawanan.
Bersambung babak kedua perlawanan menyaksikan Perak FC bermula garang dengan asakan diberikan ke kubu PJ City FC dengan beberapa percubaan.
Peluang terbaik Perak FC muncul pada minit ke-47 menerusi percubaan pemian baharu mereka, Muhammad Shakir Hamzah yang menggegar palang gol.
Pasukan tuan rumah mendapat satu lagi percubaan menerusi penyerang naturalisasi mereka, Guilherme De Paula namun sedikit tersasar.
PJ City FC kemudian cuba mengatur gerak membuat asakan ke kubu Perak FC namun tidak berjaya memecah kebuntuan.
Di sebalik asakan itu, Perak FC berjaya mencuri peluang pada minit ke-56 melalui percubaan Muhammad Rafiuddin Rodin ke gawang PJ City FC namun berjaya ditangkap kemas Kalamullah Al-Hafiz.
Pasukan PJ City FC kemudiannya membuat pertukaran pertama perlawanan dengan mengeluarkan Muhammad Faiz Mazlan dengan memasukkan A Salamon.
Ketika tempo perlawanan semakin rancak, Perak FC kemudiannya membuat dua pertukaran apabila Kenny Pallraj dikeluarkan dan diganti dengan Muhammad Firdaus Saiyadi manakala Muhammad Farhan Roslan menggantikan Muhammad Rafiuddin Rodin.
Sementara itu, PJ City FC turut membuat dua lagi pertukaran dengan mengeluarkan M Kogileswaran Raj yang diganti oleh Ahmad Khairul Anuar Ahmad Zamri dan memasukkan K Kannan selepas mengeluarkan Filemon Anyie Standly.
Pada minit ke-84, Ketua Jurulatih PJ City FC, P Maniam dilayangkan kad kuning selepas menendang bola masuk ke dalam padang.
Pasukan PJ City FC nyaris menghukum kealpaan pertahanan Perak FC pada babak akhir perlawanan namun berjaya diselamatkan Muhammad Hafizul Hakim.
Tamat perlawanan Perak FC terpaksa berpuas hati dengan keputusan seri tanpa jaringan dengan PJ City FC.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!