PM sifatkan peluang tunai umrah suatu amanah
KUALA LUMPUR - Tan Sri Muhyiddin Yassin tidak menganggap peluang yang diberikan kepada beliau untuk menunaikan ibadat umrah pada awal pagi Ahad sebagai keistimewaan peribadi sebaliknya menyifatkan ia suatu amanah untuk berusaha sedaya upaya agar lebih ramai umat Islam di Malaysia dapat kembali ke bumi Makkah.
Perdana Menteri berkata beliau memahami kerinduan umat Islam khususnya di Malaysia untuk kembali ke Tanah Suci dan kerinduan itu tidak dapat digambarkan dengan kata-kata.
"Beroleh keizinan Allah SWT untuk kembali ke Tanah Suci menjejakkan kaki di Masjidilharam seterusnya menunaikan ibadat umrah malam tadi merupakan satu nikmat yang amat saya syukuri dengan penuh rendah hati.
"Sebab itu, semalam semasa menunaikan umrah dan berada di dalam Kaabah, saya bagi pihak rakyat khususnya umat Islam di Malaysia berdoa dengan sesungguhnya, semoga kita semua sentiasa berada dalam perlindungan-Nya, seluruh dunia bebas daripada wabak penyakit dan umat Islam di Malaysia dan di seluruh dunia dapat segera kembali berpeluang ke tanah suci sebagai tetamu Allah," menurutnya dalam hantaran di laman Facebook rasminya malam ini.
Beliau kini berada di Arab Saudi bagi lawatan rasmi empat hari bermula semalam atas undangan Raja Arab Saudi yang juga Penjaga Dua Masjid Suci Raja Salman bin Abdulaziz Al-Saud.
Perdana Menteri, yang selesai menunaikan Umrah pada 10 malam Sabtu (3 pagi Ahad waktu Malaysia), turut diberi peluang memasuki Kaabah.
Muhyiddin, yang menjadi ketua kerajaan pertama diberi peluang masuk ke dalam Kaabah selepas lebih setahun ditutup berikutan wabak Covid-19, turut berkongsi video perjalanan ibadat umrah yang dilakukan bersama isterinya Puan Sri Noorainee Abdul Rahman.
Perdana Menteri berkata lebih membuatkan beliau sebak dan bersyukur apabila dengan izin Allah SWT, Raja Salman bin Abdulaziz Al-Saud telah memperkenankannya memasuki Kaabah.
"Ini ialah aturan Allah SWT yang amat besar nilai dan maknanya, bukan sahaja untuk diri saya dan isteri, bahkan saya menganggapnya sebagai bukti ukhwah persaudaraan yang amat akrab serta penghormatan untuk umat Islam di Malaysia dari Kerajaan Diraja Arab Saudi,” katanya.
Beliau berkata sememangnya kerajaan Arab Saudi memberi perhatian serius terhadap penjagaan kesihatan dalam kalangan umat Islam dan percaya bumi anbia ini akan kembali diimarahkan dengan ibadat umrah dan ziarah tidak lama lagi.
"Saya bagi pihak Kerajaan Malaysia, berterima kasih kepada Yang Teramat Mulia Raja Salman bin Abdulaziz Al-Saud dan Putera Mahkota Arab Saudi, Yang Amat Mulia Putera Mohammad bin Salman, yang mengundang saya ke Arab Saudi,” katanya.
Muhyiddin berkata hari ini beliau dan isterinya turut ke Madinah untuk melakukan ziarah ke makam Rasulullah SAW dan Masjid Nabawi sebelum memulakan program rasmi sempena lawatan ke Arab Saudi itu.
Beliau seterusnya akan ke Emiriah Arab Bersatu (UAE) untuk bertemu dengan Putera Mahkota Abu Dhabi Sheikh Mohamed bin Zayed Al Nahyan dan Perdana Menteri UAE yang juga Pemerintah Dubai Sheikh Mohammed bin Rashid Al Maktoum.
Perdana Menteri akan mengadakan lawatan rasmi ke UAE sehingga 11 Mac. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!