'Kini kami mampu tidur dengan tenang'

Ahmad Sukri (dua dari kanan) bersama ahli keluarganya teruja menerima rumah baharu. Rumah baharu Ahmad Sukri yang siap dibina oleh ZPP.
Ahmad Sukri (dua dari kanan) bersama ahli keluarganya teruja menerima rumah baharu. Rumah baharu Ahmad Sukri yang siap dibina oleh ZPP.
A
A
A

KEPALA BATAS - Sebanyak sembilan sekeluarga kini dapat menjalani kehidupan lebih selesa apabila menerima rumah baharu yang disumbangkan Zakat Pulau Pinang (ZPP).

Penerima, Ahmad Sukri Mohamed Salleh, 49, berkata, tiada perkataan lain mampu diungkapkan selain syukur atas bantuan diberikan ZPP dengan menggantikan rumah lama yang rosak dan usang.

Peniaga makanan di pasar malam itu berkata, mereka sekeluarga sebelum ini mendiami rumah pusaka keluarga yang telah usang.

Disebabkan kekangan kewangan, katanya, dia tidak dapat memperbaiki atau mencari tempat tinggal yang lebih selesa untuk keluarga.

“Saya sangat terharu kerana berpeluang menerima ‘mahligai’ ini yang jauh lebih selesa daripada rumah lama kami.

“Jika dahulu setiap kali hujan saya tidak dapat tidur lena kerana memikirkan anak-anak disebabkan rumah kami dimasuki air kerana atap rumah yang bocor selain struktur rumah yang sudah tidak selamat akibat dimakan anai-anai.

“Kini kami mampu tidur dengan tenang,” katanya ketika ditemui pemberita selepas majlis penyerahan bantuan bina rumah di Kampung Permatang Tinggi B di sini pada Sabtu.

Artikel Berkaitan:

Ahmad Zakiyuddin (dua dari kanan) menyampaikan replika kunci kepada Ahmad Sukri sebagai simbolik penyerahan bantuan bina rumah yang diberikan ZPP.
Ahmad Zakiyuddin (dua dari kanan) menyampaikan replika kunci kepada Ahmad Sukri sebagai simbolik penyerahan bantuan bina rumah yang diberikan ZPP.

Penyerahan rumah berkenaan disempurnakan Timbalan Ketua Menteri I Pulau Pinang, Datuk Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman yang juga Pengerusi ZPP.

Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif ZPP, Amran Hazali.

Tidur bergelimpangan

Ahmad Sukri berkata, jika dahulu mereka sekeluarga terpaksa tidur bergelimpangan dalam rumah kayu yang tidak mempunyai bilik, namun kini empat anak perempuan dan tiga anak lelaki mempunyai bilik berasingan.

Menurutnya, rumah berkeluasan 800 kaki persegi dengan tiga bilik tidur itu turut dilengkapi dengan kipas dan lampu.

Katanya, mereka sekeluarga juga tidak sabar untuk buat pertama kali menyambut Ramadan dan Aidilfitri tidak lama lagi dengan suasana rumah baharu dan lebih ceria.

Selain Ahmad Sukri, ZPP turut membantu keluarga di Lahar Tambun, Tasek Gelugor yang sebelum ini membina rumah mereka sendiri, namun tidak dilengkapi bekalan elektrik dan air yang bersih.

Abdul Aziz Abu Hussain, 44, yang mendapat bantuan berkenaan melalui Program Bantuan Baik Pulih Rumah ZPP kini boleh menarik nafas lega apabila rumahnya kini dinaik taraf dengan lebih selamat dan lengkap.

Menurutnya, rumah kecil berkeluasan 360 kaki persegi sebelum ini dibina dengan hasil titik peluh bekerja sendiri sebagai pembaik pulih jentera.

Namun, dengan bantuan diberikan ZPP, rumahnya itu kini memiliki dua bilik tidur, ruang tamu dan dapur yang selesa untuk dihuni Abdul Aziz bersama isteri serta dua orang anak.

“Syukur sangat dan terima kasih kepada pihak ZPP kerana membantu melengkapkan lagi rumah kami.

“Rumah ini asalnya kecil sahaja tapi selepas dinaik taraf ZPP, tempat tinggal kami jadi lebih selesa,” katanya.

30 rumah bantuan zakat

Sementara itu, Ahmad Zakiyuddin berkata, bantuan bina rumah yang disediakan ZPP menelan kos sebanyak RM57,515.86 dengan pembinaan rumah dengan reka bentuk baharu yang lebih moden dan islamik.

Katanya, seluruh proses pembinaan daripada peringkat reka bentuk hingga pembinaan dipantau sendiri oleh pegawai ZPP yang berpengalaman serta profesional dalam bidang pembinaan.

“ZPP telah menyasarkan sebanyak 30 buah rumah bantuan zakat akan dibina di seluruh Pulau Pinang pada tahun ini.

“Bantuan disediakan ini merupakan program pembangunan asnaf (miskin bandar) yang menyasarkan pembangunan rohani dan ekonomi dalam membantu asnaf terpilih.

“Ia bagi mentransformasikan golongan ini daripada status penerima bantuan zakat menjadi pembayar zakat suatu hari nanti,” katanya.

Bagi bantuan baik pulih rumah yang dilakukan di Lahar Tambu, Tesek Gelugor pula, Ahmad Zakiyuddin berkata, ia menelan belanja sebanyak RM40,000.

Beliau berkata, bantuan itu diberikan bagi membantu golongan asnaf fakir dan miskin menampung kos membaiki rumah yang rosak dan daif, seterusnya menyediakan ruang kediaman yang lebih sempurna.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!