Malaysia komited perkukuh kerjasama dengan negara Komanwel lain
KUALA LUMPUR - Malaysia komited untuk berganding bahu dengan negara-negara Komanwel lain dengan memperkukuhkan kerjasama dalam beberapa bidang keutamaan. Wisma Putra dalam perutusan sempena Hari Komanwel 2021 hari ini menyatakan, bidang keutamaan itu terdiri daripada langkah mempromosi tadbir urus baik, menangani kesan sosial dan ekonomi akibat pandemik Covid-19, pembangunan lestari, isu-isu alam sekitar, belia, pendidikan serta pemerkasaan wanita.
"Pandemik Covid-19 yang belum pernah berlaku sebelum ini, yang melanda seluruh dunia, telah mengubah cara setiap individu dan organisasi beroperasi serta berfungsi. "Ketika pandemik itu terus memberikan cabaran kepada seluruh negara Komanwel, Malaysia tetap berharap Komanwel akan menjadi lebih kukuh dalam memerangi pandemik itu menerusi perkongsian inovatif dan pendekatan baharu bagi melindungi kesejahteraan rakyat, terutama golongan yang paling berisiko,” katanya.
Hari Komanwel tahun ini disambut pada 8 Mac dengan Malaysia menyertai 53 negara Komanwel lain untuk meraikan ikatan bersama dan sumbangan negara-negara Komanwel ke arah mewujudkan persekitaran global yang harmoni.
Selain itu menurut Wisma Putra, Hari Komanwel tahun ini disambut serentak dengan Hari Wanita Antarabangsa yang memberikan peluang khas kepada negara anggota untuk mengiktiraf pemimpin wanita di seluruh Komanwel, yang telah memberikan sumbangan positif kepada pembangunan lestari dan pembinaan masyarakat dengan daya ketahanan.
Tahun ini, Rwanda akan menjadi tuan rumah Mesyuarat Ketua-ketua Kerajaan Komanwel ke-26 (CHOGM) pada Jun 2021 di Kigali dengan tema ‘Menyampaikan Masa Hadapan Bersama: Tersaling Hubung, Berinovatif, Mengubah.’
"Malaysia menantikan CHOGM 2021 yang akan datang di Kigali, Rwanda dan mengulangi komitmennya terhadap pelbagai inisiatif ke arah mencapai keamanan global serta kemakmuran bersama,” menurut Wisma Putra. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!