Ruminah berbakti pada tanah di usia 77
PONTIAN - Usianya sudah 77 tahun, namun semangatnya untuk bergelar usahawan tani jagung yang mengusahakan tanah seluas kira-kira 8 hektar tidak pernah luntur.
Ruminah Nado@Mustafa, merupakan satu-satunya usahawan tani jagung di daerah ini yang masih aktif mengusahakan tanaman itu di sempadan Bukit Batu-Sedenak.
Beliau yang menetap di Kampung Parit Puasa berkata, tanaman jagung menjadi punca rezeki buatnya dan Allahyarham suami, Salleho Taslim membesarkan sembilan orang anak.
“Mula-mula bantu suami di kebun untuk mencari rezeki demi anak-anak. Ketika itu bersama suami usahakan tanah tanam jagung dan kelapa sawit.
“Pemergian arwah suami pada tahun 2016 tidak mematahkan semangat saya untuk terus menjadi pekebun,” katanya.
Katanya, beliau memilih untuk menanam jagung selepas melihat tanaman itu banyak diusahakan pekebun bukan Melayu selain jagung mudah untuk diuruskan berbanding tanaman komoditi seperti kelapa sawit.
“Lagipun proses menanam jagung ini sesuai untuk wanita kerana tidak sukar seperti mengusahakan kelapa sawit.
“Walaupun tidak sebesar mana kebun jagung yang saya usahakan pada peringkat awal iaitu pada tahun 1995, tetapi lama-kelamaan ia semakin bertambah dengan memajak tanah penduduk,” katanya.
Ruminah berkata, dengan dibantu pekerja seramai empat orang, tanaman jagung diusahakan secara berperingkat iaitu sekitar satu hingga dua hektar bagi tempoh setengah bulan.
“Saya mampu menuai kira-kira 24,000 biji jagung setiap musim dengan jualan jagung bergantung kepada pasaran di mana kadar purata harga bagi setongkol jagung manis kira-kira 70 sen,” katanya.
Ruminah yang pernah menerima Anugerah Ibu Malaysia pada tahun 2008 bersyukur apabila kesemua anaknya berjaya menjejakkan kaki ke universiti dan salah seorang bergelar doktor pakar bedah berkat usahanya berbakti kepada tanah.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!