15 motosikal disita ubah suai ekzos

Anggota polis menunjukkan salah satu motosikal disita dalam Ops Khas Kesalahan Bunyi yang dilakukan di sekitar Jempol, Negeri Sembilan. (Gambar kecil: Hoo Chang Hook)
Anggota polis menunjukkan salah satu motosikal disita dalam Ops Khas Kesalahan Bunyi yang dilakukan di sekitar Jempol, Negeri Sembilan. (Gambar kecil: Hoo Chang Hook)
A
A
A

JEMPOL- Sebanyak 15 motosikal disita dalam Ops Khas Kesalahan Bunyi (ekzos) setakat Jumaat lalu sejak operasi itu dijalankan bermula 1 Mac di sekitar Jempol.

Ketua Polis daerah Jempol, Superintendan Hoo Chang Hook berkata, kesemua motosikal yang disita didapati mengubah suai ekzos sehingga mengeluarkan bunyi bising melebihi kadar yang ditetapkan.

"Operasi ini melibatkan polis Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Ibu Pejabat Polis daerah (IPD) Jempol bersama Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

"Lokasi operasi telah dikenal pasti, bagaimana pun lokasinya akan berubah-ubah mengikut kesesuaian penugasan serta akan dilaksanakan sehingga 14 Mac ini," katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.

Katanya, kebanyakan individu yang dikesan melakukan kesalahan ini terdiri daripada golongan remaja iaitu berusia antara 18 hingga 25 tahun.

"Pada Jumaat lepas sahaja, lima motosikal disita dalam operasi sama membabitkan tiga lokasi sekatan jalan raya (SJR) di kawasan Pekan Bahau selain lorong-lorong jalan ditutup serta satu pasukan trafik bergerak bagi mengesan kesalahan ekzos bising.

"Hasil daripada operasi tersebut, sebanyak 77 kenderaan dan 192 individu telah diperiksa dan 47 saman polis telah dikeluarkan di atas pelbagai kesalahan lalu lintas.

"Pihak JPJ pula telah mengeluarkan sebanyak 110 notis kepada pesalah lalu lintas," katanya.

Artikel Berkaitan:

Chang Hook berkata, walaupun kesalahan ekzos bising diberi keutamaan, kesalahan-kesalahan lalu lintas yang lain juga diambil tindakan demi mendidik masyarakat agar mematuhi udang-undang jalan raya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!