132,691 murid kembali bersekolah di Perak
IPOH - Seramai 132,691 murid di Perak memulakan sesi pembelajaran bersemuka yang dibuka pada Isnin, selepas ditutup berikutan pandemik Covid-19.
Jabatan Pendidikan Negeri dalam satu kenyataan memaklumkan, jumlah itu meliputi 33,839 murid Tahun Tiga, 33,584 Tahun Empat, 32,360 Tahun Lima dan bakinya murid Tahun Enam.
"Jumlah itu menjadikan keseluruhan 218,600 murid membabitkan 852 sekolah di negeri ini telah kembali memulakan sesi persekolahan masing-masing," katanya.
Pada 1 Mac lalu, lebih 85,000 murid di Perak terdiri pra sekolah, murid Tahun Satu dan Dua telah mula mendaftar masuk ke sekolah rendah.
Tinjauan sekitar Ipoh mendapati, keadaan jalan-jalan utama seawal jam 7 pagi sesak dengan kenderaan yang menghantar murid ke sekolah.
Meskipun begitu, pengurusan sekolah tetap mengikuti prosesur operasi standard (SOP) yang ketat dengan mengamalkan penjarakan fizikal, pemakaian pelitup muka dan pemeriksaan suhu di pintu masuk.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!