[DIKEMASKINI] Warga emas dituduh menyamar kerabat diraja Kelantan

Tertuduh (tengah) diiringi dan dikawal ketat pegawai polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Kelantan ketika keluar dari lokap Mahkamah Majistret Tumpat pada Isnin.
Tertuduh (tengah) diiringi dan dikawal ketat pegawai polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Kelantan ketika keluar dari lokap Mahkamah Majistret Tumpat pada Isnin.
A
A
A

TUMPAT - [DIKEMASKINI] Seorang lelaki warga emas mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini pada Isnin atas dakwaan menyamar sebagai kerabat diraja Kelantan dengan menggunakan nama Tengku.

Tertuduh, Raja Yusuf Ismail, 69, bagaimanapun mengaku tidak bersalah atas pertuduhan yang dibacakan terhadapnya oleh jurubahasa mahkamah di hadapan Majistret, Ahmad Armi Najamuddin Azmi.

Mengikut pertuduhan, Raja Yusuf didakwa menyamar sebagai seorang kerabat diraja Kelantan dengan pengetahuan menggantikan nama Raja Yusuf Ismail kepada YAM Tengku Yusuf Tengku Ismail bertujuan menawarkan projek balak di Machang dan menipu seorang individu, Mohd Fariz Hashim.

Kesalahan didakwa dilakukan di Kampung Padang Rokma, Wakaf Bharu di sini antara jam 10 pagi hingga 5 petang, pada 28 Oktober tahun lalu.

Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 419 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau dengan denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya negeri, Ahmad Faris Ab Jalil manakala tertuduh diwakili peguam bela, Tara Singh Delip.

Pada prosiding itu, Ahmad Faris mencadangkan jaminan RM10,000 namun Tara Singh merayu bagi pihak anak guamnya supaya jaminan dikurangkan kerana tertuduh tidak bekerja.

“Tertuduh juga mengalami sakit prostat dan mempunyai empat isteri serta 12 anak,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM4,000 dengan seorang penjamin dan kes ditetapkan untuk sebutan semula pada 11 April depan.

Jaminan itu bagaimanapun tidak dijelaskan kerana dia akan didakwa atas satu lagi tuduhan lain berkait jenayah penipuan di Mahkamah Majistret Machang, esok.

Sinar Harian pada Ahad melaporkan dua lelaki iaitu ‘Datuk’ dan ‘kerabat’ diraja Kelantan ditahan kerana dipercayai menggunakan gelaran palsu.

Datuk palsu yang juga seorang kakitangan awam berusia 48 tahun tersebut bagaimanapun dibebaskan sebagai saksi pendakwaan manakala ‘kerabat’ bergelar Tengku tersebut didakwa di mahkamah.

ARTIKEL BERKAITAN: ‘Datuk’ dan ‘kerabat diraja Kelantan' ditahan

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!