UMNO dilemahkan dengan ‘pisau, pen dan buku cek’

ASYRAF WAJDI
ASYRAF WAJDI
A
A
A

SHAH ALAM - Sejak UMNO hilang kuasa pada Mei 2018, pelbagai usaha dilakukan untuk melemahkan dan menghancurkan parti itu menggunakan pelbagai cara sama ada dari luar mahupun dalam, dedah Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki.

Menurutnya, usaha untuk mengharamkan UMNO bermula seawal 2018 dengan mengeksploitasi 16 orang bekas ahlinya atas alasan UMNO melanggar Perlembagaannya kerana menangguhkan pemilihan parti.

"Hakikatnya, ramai pemimpin-pemimpin UMNO diugut, ditekan dan digasak dengan menggunakan pelbagai agensi-agensi di bawah kerajaan PH (Pakatan Harapan) waktu itu.

"Usaha melemahkan UMNO masih berterusan sehinggalah ke saat ini termasuk menggunakan pendekatan ‘pisau, pen dan buku cek’ bagi memecah-belahkan UMNO melalui juak-juak dalaman sendiri mengikut perencanaan 'scheme of thing’," katanya di laman Facebooknya pada Isnin.

Untuk rekod hubungan antara UMNO dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) kini semakin keruh selepas Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO memutuskan untuk tidak lagi bekerjasama dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) menjelang Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Keputusan UMNO memaksa Bersatu menyatakan pendirian untuk memberikan fokus dengan gerak kerja bersama rakan-rakan komponennya dalam Perikatan Nasional (PN) selain UMNO.

Begitupun, UMNO Perlis dan Sabah kemudiannya menyatakan pendirian mereka untuk meneruskan kerjasama UMNO di negeri berkenaan dalam PN.

Susulan itu, bekas Setiausaha Agung Barisan Nasional, Tan Sri Annuar Musa membayangkan lebih banyak lagi UMNO di peringkat bahagian dan negeri akan mengambil pendirian serupa, sekali gus mencerminkan perpecahan berlaku dalam UMNO ketika ini.

Artikel Berkaitan:

Mengulas lanjut, Asyraf menyifatkan hanya ahli UMNO yang mempunyai ketahanan akan terus kekal setia mempertahankan parti berkenaan biarpun mereka menjadi 'lilin membakar diri'.

"Namun, tidak kurang juga yang cuak, gelabah dan tidak tahan diuji, lantas keluar meninggalkan parti. Tergamak pula menikam parti yang pernah mengangkat dan meletakkan mereka di posisi tertinggi lagi dihormati.

"Ironinya, mereka yang terpalit ini tiba-tiba terus disucikan dan tidak lagi kedengaran khabar sebarang tindakan mahupun pendakwaan," katanya tanpa menjelaskan siapa ‘mereka’ dengan lebih lanjut.

Bagaimanapun katanya, UMNO masih dipelihara ALLAH SWT kerana terus bertahan dan tetap utuh hingga saat ini kerana kekuatan serta keutuhan sebenar parti terletak kepada keikhlasan akar umbi.

Menurutnya, akar umbi yang merupakan rangkaian 3.5 juta ahli UMNO di 191 bahagian dan lebih 22,000 cawangan di seluruh negara ikhlas dan terus setia berjuang mempertahankan wadah biarpun ada dalam kalangan pemimpin mudah gelabah serta lari meninggalkan parti.

"Ya, jangan salahkan parti UMNO. Tetapi angkara segelintir pemimpin dan ahli yang lupa diri, lupa daratan serta lupa akar perjuangan, akhirnya Tuhan takdirkan UMNO diuji hilang kuasa.

"Setiap yang berlaku ada hikmahnya. Kini, setiap warga pejuang UMNO tidak boleh lagi melakukan kesilapan yang sama," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!