3,100 saman sepanjang Ops Selamat

Remaja dan bawah umur antara ditahan dalam operasi itu.
Remaja dan bawah umur antara ditahan dalam operasi itu.
A
A
A

PADANG SERAI - 3,100 saman melibatkan hampir 4,000 kesalahan direkod sepanjang Ops Selamat sempena Tahun Baharu Cina yang bermula pada 29 Januari lalu hingga semalam.

Ketua Polis Daerah Kulim, Superintendan Mohd Nasir Jaafar berkata, operasi dijalankan 10 anggota trafik diketuai Inspektor Mohd Nor Hafiz Zainal bersama 8 anggota sukarelawan Polis Diraja Malaysia Ibu Pejabat Polis daerah (IPD) Kulim diketuai Inspektor Jasmi Ishak.

Menurutnya, antara kesalahan utama direkodkan adalah memandu laju, menunggang dan memandu tanpa lesen, cukai jalan tamat tempoh dan menunggang motosikal tidak memakai topi keledar.

"Operasi seumpama ini akan diteruskan bagi memastikan pengguna jalan raya mematuhi undang-undang ditetapkan," katanya.

Beliau berkata, berdasarkan perbandingan Ops Selamat pada tahun 2018 dan 2019, dua kes kematian akibat kemalangan dicatat tahun lalu dan seorang pada awal tahun ini.

"Tiada tangkapan dibuat pada tahun 2018 namun dua tangkapan telah direkod bagi tahun ini. Tangkapan pertama dibuat kerana memandu secara melulu manakala tangkapan kedua kerana membawa dadah dan memiliki barang curi.

"Tangkapan pertama didakwa bawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan kedua bawah Seksyen 12 (2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 379 Kanun Keseksaan," katanya.

Beliau berkata, tahun lalu juga polis telah keluarkan 2,500 saman dan 3,100 saman dikeluarkan bagi tempoh dua minggu untuk tahun ini.

Artikel Berkaitan:

Katanya, golongan remaja dan bawah umur antara mereka yang paling ramai menerima tindakan saman.

"Saya mengucapkan tahniah kepada semua pegawai serta anggota terlibat. Sepanjang Ops Selamat dijalankan, pihak trafik dan PDRM berjaya mengurangkan kadar kemalangan.

"Tindakan saman adalah untuk mendidik pengguna jalan raya supaya lebih prihatin dan mematuhi undang-undang, " katanya.

Ahmad Nasir berkata, Ops Selamat bukan sahaja tertumpu kepada kesalahan lalu lintas sebaliknya melakukan pencegahan terhadap perlakuan jenayah.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!