Penjara tujuh tahun, dua sebatan toreh muka adik ipar
KUALA TERENGGANU - Akibat pengaruh dadah seorang penganggur sanggup menoreh muka dan mencederakan tangan adik iparnya menggunakan pisau pemotong daging dalam kejadian di sebuah kediaman di Marang pada 9 Februari lalu.
Tertuduh, Mohd Asmadi Mat Min, 44, dijatuhi hukuman penjara tujuh tahun dan dua sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini, pada Isnin selepas mengaku salah dihadapan Hakim Nooriah Osman mengikut pertuduhan dibawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan (KK).
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap mangsa, Mohd Safwan Samsuddin, 31, menggunakan pisau pemotong daging di hadapan rumah di Marang jam 1.40 petang pada 9 Februari lalu.
Dalam kejadian itu, mangsa yang berada di rumah ibu mentuanya cuba menghalang tertuduh yang sedang mengamuk sambil memegang sebilah pisau.
Tindakan itu menyebabkan mangsa cedera di pipi kiri dan tangan kiri selepas terkena pisau yang di pegang tertuduh.
Mengikut pertuduhan dibawah Seksyen 324 KK, tertuduh berdepan hukuman penjara sehingga 10 tahun atau denda atau sebatan atau mana-mana dua daripada hukuman itu, jika sabit kesalahan.
Mahkamah menetapkan hukuman ke atas tertuduh berkuatkuasa dari tarikh tangkapan iaitu pada 10 Februari lalu.
Pendakwaan bagi kes tersebut dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Wan Amira Ruzaini Wan Abdul Razak manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!