Kutipan Sumbangan Sedekah Felda masih rendah

Sulaiman (dua dari kanan) menyerahkan sumbangan untuk fasa kedua kepada Khairuddin (dua dari kiri) pada majlis di Dewan Felda Jengka 16, Jengka pada Isnin.
Sulaiman (dua dari kanan) menyerahkan sumbangan untuk fasa kedua kepada Khairuddin (dua dari kiri) pada majlis di Dewan Felda Jengka 16, Jengka pada Isnin.
A
A
A

JENGKA - Pandemik Covid-19 memberi halangan untuk menjayakan program Sumbangan Sedekah Felda yang dilancarkan pada Oktober lalu membabitkan sesi penerangan kepada 14,957 peneroka di Felda Wilayah Jengka.

Penolong Pengurus Besar Felda Wilayah Jengka, Sarimah Sudin berkata, disebabkan kekangan itu menyebabkan jumlah kutipan hanya RM760,000 setakat minggu lalu berbanding sasaran RM4.4 juta yang ditetapkan.

"Setakat ini dua fasa penyerahan sumbangan kepada Majlis Ugama Islam Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) telah dilaksanakan.

"Memang terdapat tiga rancangan yang jumlah kutipannya masih rendah iaitu lima peratus. Kita berharap untuk fasa terakhir sebelum Aidilfitri ini, peneroka mengambil peluang sempena keberkatan Ramadan untuk turut sama menderma," katanya pada sidang akhbar di Dewan Felda Jengka 16 di sini pada Isnin.

Sarimah
Sarimah

Penyerahan fasa kedua menyaksikan sebanyak RM400,000 diserahkan kepada MUIP yang diwakili Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Pengurusan dan Dasar), Khairuddin Ismail.

Hadir sama ialah Ketua Peneroka Felda Wilayah Jengka, Sulaiman Bakar; Pengerusi Gabungan Persatuan Wanita (GPW) Wilayah Jengka, Zariah Haron dan Ketua Peneroka Felda Jengka 16, Ismail Abdul Rahman.

Program Sumbangan Sedekah Felda merupakan hasil cetusan Pengerusi Felda, Tan Sri Idris Jusoh.

Artikel Berkaitan:

Menerusi program itu, setiap peneroka Felda di seluruh negara masing-masing akan menyumbang sebanyak RM300 untuk disalurkan kepada golongan memerlukan.

Sementara itu, Ketua Peneroka Felda Jengka 24, Razak Daud berkata, kesemua 292 peneroka di rancangan tersebut telah menderma untuk program berkenaan dengan jumlah kutipan keseluruhan sebanyak RM87,600.

Razak
Razak

Menurutnya, ia hasil komitmen dan kesedaran peneroka untuk turut sama membantu mereka yang kurang berkemampuan.

"Saya berharap peneroka lain untuk turut sama bagi fasa terakhir nanti," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!