Pekak, bisu tidak halang Farid jadi tukang gunting

Faris Aidil memangkas rambut salah seorang pelanggannya di kedai gunting yang diusahakan di hadapan rumahnya di Kampung Teluk Bakong, Lambor Kanan, Parit, Perak.
Faris Aidil memangkas rambut salah seorang pelanggannya di kedai gunting yang diusahakan di hadapan rumahnya di Kampung Teluk Bakong, Lambor Kanan, Parit, Perak.
A
A
A

PARIT - Kekurangan pada diri yang dilahirkan pekak dan bisu bukan penghalang kepada seorang anak muda, Farid Aidil Mat Din, 28, berusaha mengejar impian sebagai usahawan.

Dalam keterbatasan diri, dia kini merealisasikan impian itu dengan membuka perniagaan kedai gunting rambut 'Farid Barber Shop' yang diusahakan sejak empat tahun lalu di laman rumahnya di Kampung Teluk Bakong, Lambor Kanan di sini.

Farid Aidil berkata, minat mendalam menjadi seorang tukang gunting rambut datang dengan sendirinya selepas beberapa kali mencuba memotong rambut rakan-rakan.

"Saya gembira apabila mereka suka dengan stail guntingan yang saya buat, mereka kata nampak kemas.

"Sejak itu saya mula mengumpul pengalaman selain banyak belajar teknik menggunting, merapi dan memotong rambut daripada YouTube," katanya ketika ditemui sempena lawatan Persatuan Sahabat OKU Negeri Perak di sini.

Sesi temu bual bersama pemberita dibantu kakaknya, Noor Fashikin Mat Din, 32, bersama kedua ibu bapa mereka, Mat Din Mat Piah, 68, dan Maimon Mohd Drus, 47.

Farid Aidil berkata, sebelum ini dia pernah kerja makan gaji, namun ada sahaja pihak yang cuba mengambil kesempatan membuatnya nekad bekerja sendiri.

Menerusi perniagaan yang diusahakan itu, katanya, dia tidak perlu membebankan ibu bapa dan keluarga yang bimbang akan keselamatan dirinya setiap kali keluar rumah.

Artikel Berkaitan:

"Alhamdulillah, walaupun hanya kedai kecil di rumah, pelanggan tak putus datang. Kebanyakannya kalangan penduduk kampung, tetapi orang luar dan anggota polis dari balai berhampiran juga ada datang mendapatkan khidmat guntingan di sini," katanya yang mengenakan bayaran RM7 bagi setiap guntingan.

Anak kelima daripada tujuh beradik itu berkata, dia kini sedang mengumpul wang mendapatkan peralatan guntingan yang lebih terkini bagi menggantikan perkakas lama.

Jelasnya, sebelum ini ada pelanggan mengadu bunyi mesin yang digunakan agak kuat dan kadang-kadang berhenti dengan sendirinya menyebabkannya terpaksa menghentikan sementara operasi kedai.

"Impian saya untuk menjadi seorang tukang gunting rambut profesional. Saya akan tingkatkan lagi pengetahuan dan kemahiran diri.

"Semoga usaha saya ini dipermudahkan seterusnya dapat menjadi contoh kepada mereka yang senasib seperti saya," katanya.

Sementara itu, Setiausaha Persatuan Sahabat OKU Negeri Perak, Mahzan Mohsin berkata, pihaknya akan membantu mendaftarkan Farid Aidil untuk mengikuti Kursus Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) OKU anjuran Pusat Aspirasi Anak Perak (Pasak).

"Dengan kursus berkenaan, dia dapat meningkatkan kemahirannya serta membuka peluang-peluang baharu untuk lebih maju ke hadapan," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!