Saya tak perli sesiapa pun: Sheila Rusly
MESKIPUN tidak menyebut atau mengaitkan nama sesiapa, kapsyen yang ditulis oleh pelakon dan penerbit Sheila Rusly pada sekeping gambar yang dimuat naik di laman Instagramnya beberapa hari lalu telah mencetuskan spekulasi di kalangan netizen.
Difahamkan gambar Sheila mengenakan uniform tentera itu adalah dari babak penggambaran drama terbaru terbitan syarikat produksi miliknya, Leftenan Zana.
“Kalau rasa nak tengok silakan. Mungkin tak sehebat yang diharapkan dan tak semudah juga untuk Sis menyiapkan kerana tak semua jasa akan dikenang,” tulisnya.
Bagaimanapun kapsyen tersebut mula mencetuskan perdebatan apabila ada antara netizen mula mengaitkannya dengan pelakon utama drama tersebut, Janna Nick.
Pelbagai andaian dibuat termasuklah tuduhan yang mengatakan Sheila menyindir Janna yang sebelum ini dikatakan mempunyai hubungan yang begitu rapat dengannya dan keluarga.
Posting kedua Sheila dengan memuat naik gambarnya berdua bersama suami, Azman Yahya Jinggo turut mendapat respon yang sama meskipun Sheila beberapa kali menegaskan kapsyen yang ditulis tidak ditujukan kepada sesiapa.
“Saya tak perli sesiapa pun. Itulah masalah dengan netizen. Cakap apa yang kita tahu dik, jangan cakap apa yang kita tak tahu. Itu dah kira fitnah kan? Takpe saya dah maafkan awak,” balasnya di ruangan komen.
Leftenan Zana menyaksikan lakonan Janna Nick selaku teraju utama di samping Tunku Hanis, Hairie Othman, Redza Rosli dan Sheila Rusly kini sedang disiarkan pada setiap Jumaat di TV3.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!