KASA siasat tompokan hitam di Sungai Kim Kim
KLUANG - Tidak mahu tragedi bencana yang melanda Sungai Kim Kim berulang, Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) telah mengarahkan jabatan berkaitan termasuk Jabatan Alam Sekitar (JAS) menyiasat ‘tompokan air hitam’ yang didakwa mencemari sungai itu sejak kebelakangan ini.
Pada Ahad genap ulang tahun kedua tragedi pencemaran itu yang menjejaskan ribuan pelajar sekolah serta masyarakat sekitar Pasir Gudang.
Menterinya, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, sampel air telah diambil selain pemantauan menggunakan dron di sepanjang lembangan sungai berkenaan untuk mengenal pasti punca dari mana air hitam berkenaan.
"Sejak dapat laporan semalam, kita telah gerakkan JAS dan pegawai telah turun ke Sungai Kim Kim pagi ni untuk mengenal pasti punca pencemaran.
"Kita harap insiden Sungai Kim Kim jadi pengajaran (kepada semua) dan saya nak tegaskan bahawa kementerian tidak akan kompromi dengan sebarang elemen yang sebabkan pencemaran.
"Kita juga akan ambil tindakan tegas terhadap mana-mana kilang yang melepaskan afluennya ke dalam sungai yang mengakibatkan pencemaran," kata beliau kepada pemberita di Dewan Muafakat Simpang Renggam, di sini pada Isnin.
Ketika ditanya bila hasil ujian sampel air tersebut diketahui, beliau berkata keputusannya dijangka diperoleh hari ini atau esok (Selasa).
Tuan Ibrahim berkata demikian ketika mengulas mengenai laporan berita mengenai dakwaan penduduk sekitar Kampung Bukit Pulai, Pasir Gudang, berkenaan tompokan air hitam di sungai berkenaan.
Terdahulu, beliau merasmikan majlis undi perdana kerja-kerja di bawah peruntukan KASA bagi negeri Johor.
Pada 7 Mac 2019, sekumpulan pelajar dan guru mengalami mual, pening dan muntah di sebuah sekolah dipercayai terhidu bau pencemaran berpunca dari sisa toksik yang dibuang di Sungai Kim Kim.
Keadaan pencemaran yang berlarutan dan membimbangkan itu turut mendorong 111 buah sekolah di kawasan Pasir Gudang ditutup sementara selain turut menjejaskan kehidupan ribuan masyarakat dan industri sekitar kawasan itu selama dua minggu lamanya. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!