Bangkai ikan lumba-lumba ditemui terdampar
SUNGAI PETANI - Bangkai seekor ikan lumba-lumba ditemui terdampar di pesisiran pantai Kampung Paya, Kota Kuala Muda sejak beberapa hari lalu.
Penduduk, Latipah Omar, 43, dari Kampung Masjid berkata, penemuan bangkai ikan lumba-lumba pernah dialami sebelum ini memandangkan perairan berkenaan merupakan laluan haiwan mamalia itu.
Menurutnya, penduduk kampung yang kebanyakan bekerja sebagai nelayan sering kali terserempak ikan tersebut ketika berada di tengah laut.
"Sebelum ini, saya pernah jumpa bangkai ikan lumba-lumba di tempat sama, jadi kami dah biasa tengok, kemungkinan hanyut di laut dan dibawa arus hingga terdampar di celah-celah batu di sini," katanya.
Sementara itu, nelayan, Md Saad Said, 63, berkata, pengalaman terserempak dengan ikan lumba-lumba boleh dikatakan hampir setiap kali berlaku ketika dia keluar menangkap ikan.
"Boleh dikatakan setiap kali keluar tangkap ikan kami mesti akan ternampak kumpulan ikan ni di perairan Kuala Muda.
"Selalunya ikan ini bergerak dalam kumpulan besar anggaran lebih kurang 20 ekor, berenang-renang di kawasan ini.
"Bila nampak bangkai ikan lumba-lumba ni, boleh dikatakan perkara biasa bagi kami di sini," jelasnya.
Sementara itu, penduduk sekitar, Nurul Azimah Abdullah, 33, mengakui terkejut apabila melihat sekumpulan ikan lumba-lumba di perairan Yan dekat Pulau Bunting ketika memancing bersama keluarga tiga tahun lalu.
Menurutnya, pengalaman luar biasa itu adalah kali pertama dialami dan sangat mengujakan.
"Masa itu, kami semua tengah memancing sebelum dikejutkan dengan kehadiran sekumpulan ikan terbabit, dari jauh nampak hitam semua.
"Bila semakin hampir, nampak empat atau lima ekor ikan ini melompat-lompat macam pertunjukan sebelum bergerak ke kawasan lain dan hilang dari pandangan," katanya.
Menurutnya, kejadian penemuan bangkai ikan lumba-lumba di Kampung Paya, Kota Kuala Muda mungkin sesuatu yang baharu bagi mereka yang belum pernah melihatnya tetapi tidaklah begitu mengejutkan bagi penduduk kampung yang tinggal berdekatan perairan berkenaan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!