JKM tunggu siasatan polis selesai untuk proses hak penjagaan
JOHOR BAHRU - Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Johor akan memulakan proses memohon hak penjagaan dua anak kepada wanita yang dibunuh kejam oleh suaminya dalam kejadian pada 1 Mac lalu sejurus siasatan polis selesai.
Exco Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Johor, Zaiton Ismail berkata, ketika ini kes tersebut masih di peringkat siasatan polis dan selepas itu pihaknya akan mendapatkan perintah mahkamah untuk hak penjagaan.
"Permohonan tersebut nanti akan menentukan siapa yang mempunyai hak untuk menjaga dua kanak-kanak berusia tiga dan empat itu sama ada keluarga sebelah ibu atau keluarga sebelah bapa.
"Ketika ini dua kanak-kanak tersebut tinggal dan dijaga ibu saudaranya," katanya kepada pemberita selepas menyerahkan bantuan kepada ibu tunggal, Azizah Omar, 70, di rumahnya di Kampung Kempas Baru di sini pada Isnin.
Hadir sama Pengarah JKM Johor, Mohamad Hapil.
Dalam kejadian kira-kira jam 2.30 pagi Isnin lalu, mangsa yang bekerja sebagai kerani swasta ditembak pada bahagian dada ketika sedang tidur di rumahnya di Taman Saujana, Kota Tinggi dekat sini.
Lebih tragis, mayat mangsa disumbat dalam tong air sebelum ditanam di sebuah ladang di Bandar Penawar, Kota Tinggi iaitu kira-kira 30 kilometer daripada kediaman mereka.
Sementara itu, Zaiton berkata, pihaknya meminta isteri yang didera atau menjadi mangsa keganasan rumah tangga supaya tidak berdiam diri sebaliknya tampil membuat aduan untuk keselamatan dirinya, sekali gus mengelak keadaan menjadi semakin teruk.
Selain itu, katanya, masyarakat juga perlu peka dan mengambil tahu keadaan di sekeliling mereka supaya pencegahan dapat dilakukan.
Dalam pada itu, beliau berkata, kerajaan negeri Johor sedang merangka kursus pascaperkahwinan dengan bantuan Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) dan cadangannya adalah selepas 10, 15 atau 20 tahun usia perkahwinan.
"Sasaran kita adalah golongan muda kerana pasangan ini biasanya menyumbang tinggi untuk kes-kes di bawah JKM. Mungkin kita tumpu kursus pascaperkahwinan untuk pasangan yang sudah 10 tahun berkahwin terlebih dahulu," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!